KOTA BHARU - Arus deras dan paras air Sungai Kelantan yang sentiasa meningkat tidak sedikit pun menggerunkan sekumpulan remaja di sini apabila dilihat berenang tanpa menggunakan sebarang alat keselamatan.

Gelagat berani mereka yang dirakan berdekatan Jabatan Sultan Yahya Petra oleh seorang pengunjung sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook semalam menjadi viral dan dipercayai ditonton lebih 62, 000 pengguna.
Tindakan remaja berkenaan mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk yang mendakwa aktiviti tersebut dilakukan penduduk yang di kawasan tebing sungai berkenaan sejak turun- temurun.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan sikap dan keprihatinan ibu bapa sehingga mungkin tidak menyedari tindakan dilakukan anak- anak mereka apabila mandi di kawasan berbahaya seperti itu.

Melalui video berdurasi 58 saat itu, kumpulan remaja berkenaan dilihat begitu gembira berenang bersama tanpa memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi berikutan tindakan tersebut.