RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!

Rahsia untuk menjana 5 angka sudah terbongkar Jika betul-betul serius untuk menjana pendapatan di Shopee, boleh tekan gambar di bawah:

Jumaat, 27 Januari 2017

"DATANG KE SHAH ALAM BUKAN UNTUK KALAH" - ZAHASMI


KELANTAN tetap memasang impian mahu memburu mata sekalipun menyedari bakal berdepan tugas getir apabila turun menentang PKNS pada saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, petang ini.

Ketua jurulatihnya, Zahasmi Ismail berkata, misi pasukannya adalah mencuri satu mata di tempat lawan biarpun mengetahui skuad Red Ants itu turut dahagakan kemenangan selepas tewas kepada Felda United  dalam aksi pembuka tirai, minggu lalu.

“Jika menang, ia merupakan bonus bagi kita kerana secara tidak langsung itu akan menyuntik motivasi pasukan untuk menghadapi JDT (Johor Darul Ta’zim) di tempat sendiri, pada 4 Februari depan.

“Apa pun, seperti saya tegaskan sebelum ini, kita datang ke sini bukan untuk kalah dan saya tetap gembira sekiranya Kelantan dapat kutip sekurang-kurangnya satu mata daripada pulang tangan kosong,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pengendali itu memberitahu, keputusan membawa pasukannya menjalani latihan di ibu negara, tiga hari lebih awal adalah tepat berdasarkan perkembangan positif yang dipamerkan anak didiknya sepanjang berlatih dalam tempoh tersebut.  

Menurutnya, dia turut membayangkan akan mempertaruhkan barisan terkuat termasuk menggandingkan penyerang import, Mohammed Ghaddar dan Alessandro Padovani Celin selaku penggempur utama untuk bertemu skuad kendalian E Elavarasan itu.

“Kita ada peranca-ngan ke arah (menurunkan dua penyerang import) itu. Mungkin mereka akan berada dalam kesebelasan utama lebih awal petang esok (ini) namun saya akan melihat perkara ini dalam sesi latihan terakhir hari ini (semalam).

“Saya tahu kelebihan mungkin sedikit memihak PKNS kerana beraksi di tempat sendiri selain bermain sebelah petang tetapi saya percaya barisan pemain tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan beraksi dalam cuaca panas itu,” katanya.

Zahasmi turut mengingatkan anak buahnya terutama di benteng pertahanan agar memberi sepenuh perhatian memandangkan pendatang baharu Liga Super itu memiliki ramai pemain hebat pada saingan musim ini.

“Pemain seperti Mohd Safee (Sali), Patrick (Ronaldinho Wleh) dan Amiridzwan (Taj Tajudin) antara tunjang kekuatan pasukan itu selain jentera tengah mereka, Matias Jadue cukup berbahaya ketika mencipta peluang kepada rakan mereka.

“Melihat kekalahan (0-1) mereka kepada Felda United, saya percaya keupayaan pasukan itu tidak boleh diperkecilkan dan kita perlu lebih berwaspada jika tidak mahu berputih mata di Shah Alam,” katanya.

SUMBER : SINAR HARIAN