RANTAU PANJANG - Kenaikan paras air Sungai Golok bukan hanya menyebabkan pekan Rantau Panjang lumpuh terkepung, malah menjejaskan hampir 1,000 peniaga di zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

Tinjauan mendapati premis perniagaan di kawasan ini ditutup sejak jam 6 petang semalam selepas air Sungai Golok mula melimpah masuk ke premis perniagaan sejak tengah malam kelmarin.

Peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang terpaksa menutup premis perniagaan selepas laluan ke kawasan berkenaan dinaiki banjir antara 0.5 hingga 1.5 meter semalam.

Antara yang terjejas adalah 250 peniaga di Bazar Siti Fatimah, 150 peniaga Bazar Aminah dan selebihnya bazar-bazar serta kedai persendirian.

Sehingga jam 4 petang semalam, paras air di Sungai Golok berada pada paras bahaya, 10.24 meter dan tidak menunjukkan sebarang penurunan.

Laluan ke pekan Rantau Panjang turut ditutup kepada kenderaan ringan akibat kenaikan paras air sejak tengah malam kelmarin.

Manakala laluan di Rantau Panjang Panglima Bayu dan Jalan Kampung Siram ditutup kepada kenderaan selepas air sungai melimpah ke jalan raya utama.

Sehingga jam 9 malam, jumlah mangsa banjir meningkat daripada 200 orang kepada 1,409 penduduk.
Sebanyak 10 pusat pemindahan banjir dibuka sejak jam 4 petang kelmarin bagi menempatkan mangsa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd Adni Ibrahim berkata, trend air sungai mungkin meningkat menjelang 24 jam akan datang malah akan meningkat sekiranya hujan berterusan.

“Bagi memastikan keselamatan mangsa di sini, kita bekerjasama dengan agensi lain antaranya pasukan polis, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan lain-lain.