NIK AMINALDIN NIK JAAFAR
KOTA BHARU 4 April - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akhirnya melunaskan tunggakan gaji melibatkan barisan pemain The Red Warriors (TRW) dan pegawai pasukan.
Pembayaran tunggakan itu sekali gus memberikan khabar gembira buat barisan pemain TRW sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan untuk menghadapi Pahang pada aksi Liga Super, Sabtu ini.
Bendahari Kafa, Nik Aminaldin Nik Jaafar berkata, tunggakan gaji itu dilunaskan ke dalam akaun setiap pemain dan pegawai pasukan Isnin lalu.
Menurutnya, bayaran tunggakan gaji selama dua bulan iaitu bagi bulan Febuari dan Mac.
"Dengan ini tiada lagi isu tunggakan gaji pemain. Kafa sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain kerana itu sudah menjadi tugas kami sebagai majikan.
"Kafa juga sentiasa berusaha untuk mendapatkan dana bagi mengelakkan masalah tunggakan ini daripada terus berulang pada masa akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan badan induk itu memberikan jaminan masalah tunggakan gaji pemain kelantan akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Ini bukan kali pertama Kafa berdepan masalah membayar gaji dan isu itu pernah berlaku pada hujung musim 2016 lalu.
Mengulas lanjut Nik Aminaldin memberitahu, Kafa turut melunaskan tunggakan gaji melibatkan barisan pemain pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.
Katanya, kedua-dua bayaran melibatkan pasukan itu dilakukan secara serentak ke dalam akuan setiap pemain. - UTUSAN ONLINE
Sumber: Utusan © Utusan Melayu (M) Bhd