RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!
Khamis, 29 Disember 2016
BBBSK cadang potong gaji pemain untuk bantu KAFA
KOTA BHARU: Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBSK) bercadang melakukan pemotongan gaji pemain dalam usaha membantu menyelesaikan kemelut kewangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Penyelaras BBBSK, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata langkah itu adalah juga selaras dengan saranan yang dibuat oleh bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini.
"Tindakan sedemikian bertujuan mengurangkan kos pengurusan KAFA yang kini mencecah lebih RM500,000 sebulan bagi pembayaran gaji pemain.
"Mungkin KAFA boleh runding balik tangga gaji yang diterima mereka terutamanya pemain yang jarang atau tidak diturunkan beraksi ketika perlawanan serta pemain yang mempunyai prestasi kurang memuaskan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan KAFA di sini, malam tadi.
"Saya difahamkan oleh Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah bahawa ada beberapa pemain yang tidak mencapai prestasi yang memuaskan dan banyak memanaskan barisan simpanan pada musim lalu, tetapi masih lagi mempunyai kontrak dengan persatuan itu.
"Daripada membiarkan terus KAFA menggaji pemain yang tidak mencapai prestasi yang diinginkan, lebih baik mereka menggunakan khidmat tenaga muda daripada pemain Piala Presiden,".
Takiyuddin berkata Kelantan memiliki ramai pemain muda yang berbakat dan mereka sudah buktikan bahawa mereka boleh memenangi kejohanan yang dipertandingkan. Katanya, mereka terbabit sudah pun merangkul gelaran juara Piala Presiden untuk dua musim berturut-turut. Kita harus memberi peluang kepada mereka bermain dengan skuad senior dan diberikan gaji pada kadar yang sesuai kerana mereka adalah aset pasukan.
"Beri mereka peluang untuk mencari pengalaman kerana jika tidak diberikan peluang, mereka tidak dapat buktikan. "Mungkin kita tidak mencapai kejayaan yang diinginkan musim ini, tetapi musim depan kita mungkin akan berjaya dengan menggunakan pemain muda.
"Ia adalah jalan terbaik selain dapat mengurangkan kos, ia dapat membina pasukan yang mantap untuk masa hadapan," katanya.
Dalam pertemuan itu, Takiyuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan hasrat untuk membantu KAFA dalam pelbagai cara sekalipun dan ingin menggesa persatuan itu agar tidak menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
"Kami boleh beri jaminan kami akan membantu termasuk mencari prospek penaja yang boleh menaja.
"BBBSK juga diberi jaminan oleh pemangku presiden KAFA bahawa mereka bersedia mempertimbangkan pandangan itu," katanya.
Sementara itu, Afandi berkata, tumpuan pihaknya sekarang adalah untuk menyelesaikan agenda Kongres Luar Biasa KAFA yang bakal berlangsung esok.
"Kita akan meneliti setiap pandangan yang diberikan oleh BBBSK dan juga bekas presiden, Tan Sri Annuar Musa kerana sudah pasti setiap pandangan yang diberikan adalah untuk kebaikan KAFA sendiri.
"Tumpuan kita sekarang ini adalah untuk selesaikan dulu agenda kongres dan perkara itu (pemotongan gaji) akan dibuat selepas ketetapan yang dibuat pada kongres itu nanti," katanya.