Keyakinan itu disuarakan oleh Hamidin selepas melihat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee diundi dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei, bagaimanapun itu bukan bermakna beliau memandang rendah terhadap kemampuan lawan.
“Kalau kita lihat pada undian kali ini kita berada dalam kumpulan yang mempunyai lima pasukan manakala satu lagi kumpulan ada enam pasukan. Myanmar dan Singapura mempunyai pasukan B-22 yang kuat.
“Bagaimanapun dengan berlangsungnya temasya ini di Kuala Lumpur, saya fikir Kim Swee dan FAM tiada pilihan. Jika ditanya saya sendiri sebagai Setiausaha Agung, skuad B-22 negara perlu dibawa hingga ke pentas akhir.
“Perasaan saya kuat mengatakan bahawa kita perlu ke final demi peminat bola sepak tanah air,” katanya kepada pemberita selepas majlis undian bagi semua acara berpasukan dalam temasya dwitahunan itu di sini hari ini.
Hamidin berkata, skuad B-22 negara tidak diletakkan sebarang Petunjuk Prestasi Utama (KPI), sebaliknya badan induk itu berharap agar anak-anak buah Kim Swee dapat mempamerkan aksi terbaik mereka dalam kejohanan tersebut.
“Kami sudah berbincang dengan Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), skuad kendalian Kim Swee diminta untuk memberikan aksi terbaik semaksimum mungkin. Bagaimanapun pada pandangan peribadi saya, selepas undian hari ini saya mengharapkan pasukan ini dapat melangkah ke final,” katanya lagi.
Juara bertahan, Thailand diletakkan dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Indonesia, Kemboja, Timor Leste dan Filipina.
Mengulas lanjut mengenai venue perlawanan, Hamidin berkata, Kumpulan A beraksi di Stadium Shah Alam manakala Kumpulan B bermain di Stadium Majlis Perbandaran Selayang selepas Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras tidak menepati piawaian yang ditetapkan.
“Selepas mengadakan lawatan bersama Ketua Setiausaha KBS (Kementerian Belia dan Sukan), Datuk Lokman Hakim Ali di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kami mendapati venue itu tidak menepati piawaian dan aksi dipindah ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang bagi Kumpulan B.
“Jika skuad B-22 negara layak ke separuh akhir dan final, kita akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ini bermakna tiga stadium terlibat namun Stadium Nasional Bukit Jalil hanya digunakan jika kita layak ke final,” katanya.
Tambah Hamidin, perlawanan akhir peringkat kumpulan tidak dapat diadakan secara serentak memandangkan Kumpulan B mempunyai enam pasukan.