Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Noor berkata, buat masa ini tiada sebarang perkembangan baharu diterima oleh pihaknya berhubung perkara tersebut, walaupun tempoh seminggu yang diberikan sendiri oleh FMLLP tamat semalam.
Menurutnya, Kafa sudah mengemukakan segala dokumen lengkap berkaitan dengan pendaftaran Seydi seperti yang dimahukan FMLLP.
“Kami berharap pihak yang menguruskan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) dapat meluluskan pendaftaran tersebut.
“Kelantan amat memerlukan khid­mat Seydi bagi memantapkan lagi pasukan untuk mengharungi baki saingan Liga M selepas ini,” katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini FMLLP meng­halang Kafa untuk mendaftarkan pemain berkenaan sekiranya mereka gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji bekas pemain pasukan itu bagi musim 2015 dan 2016.
Utusan Malaysia 6 Jun lalu melaporkan, Kafa diberikan tempoh seminggu sebelum jendela perpindahan ditutup pada 11 Jun ini untuk menyelesaikan segala kemelut yang melanda kelab tersebut.
Difahamkan Sey­di sudah tiba di Kota Bharu dan dijangka menjalani latihan bersama TRW dalam masa terdekat.
Terdahulu, pe­naja utama The Red Warriors, (TRW) Tan Sri Annuar Musa berkata, sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain berkenaan sudah diperoleh.
Katanya, buat masa ini Kafa sedang menunggu kebenaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membawa masuk Seydi bagi menggantikan Celin.