RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!

Rahsia untuk menjana 5 angka sudah terbongkar Jika betul-betul serius untuk menjana pendapatan di Shopee, boleh tekan gambar di bawah:

Isnin, 15 Mei 2017

'THE PROFESSOR' KETUA JURULATIH PASUKAN KEBANGSAAN SUDAH DILANTIK DAN DIDEDAHKAN


'THE PROFESSOR' KETUA JURULATIH PASUKAN KEBANGSAAN SUDAH DILANTIK DAN DIDEDAHKAN

Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada, atau lebih dikenali sebagai Nelo Vingada telah disahkan sebagai ketua jurulatih dan telah diamanahkan dengan tugas untuk membawa Malaysia keluar daripada kemerosotan bola sepak.

Tugas pertama beliau, dan bukan sesuatu untuk dicemburui, adalah untuk membawa pasukan kebangsaan menentang Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun sebelum memulakan tanggungjawab menguruskan pasukan di halaman sendiri bertemu pasukan Lubnan di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, Johor pada 13 Jun sebagai jurulatih dari Portugal yang akan membantu memulakan kempen Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2019.

Digelar sebagai 'The Professor' oleh kerana kaedah pengurusan yang bijak, Vingada memulakan kerjaya kejurulatihan beliau sebagai pembantu kepada Carlos Queiroz untuk pasukan Portugal Bawah-20. Bersama Queiroz, kedua-dua mereka telah membawa Portugal ke arah kejayaan bermula dari bawah iaitu Piala Dunia FIFA Bawah-20 pada tahun 1989 dan 1991.

Selepas kejayaan Queiroz sebagai ketua jurulatih, Vingada konsisten membawa pasukan Portugal Bawah-20 mara ke separuh akhir acara utama seperti Piala Dunia FIFA Bawah-20 pada tahun 1995 dan Sukan Olimpik pada tahun 1996.

Vingada, yang telah melibatkan diri dalam kerjaya sebagai pengurus melebihi 35 tahun serta masih aktif merupakan seorang tokoh yang popular di rantau Asia. Beliau menjadi jurulatih untuk pasukan senior Arab Saudi (1996-1997), pasukan Olimpik Mesir (2004-05), pasukan kebangsaan Jordan (2007-09), dan skuad Olimpik Iran (2014).

Beliau juga mempunyai banyak pengalaman kejurulatihan di peringkat kelab di mana beliau pernah membimbing kelab Zamalek FC dari Mesir dan Seoul FC dari Korea Selatan menjuarai liga dan piala tempatan semasa bersama kelab-kelab tersebut. Kelayakan beliau yang mengagumkan juga termasuk seperti pernah menjadi jurulatih untuk pasukan gergasi Iran, Persepolis FC dan kelab dari Liga Super China, Dalian Shide FC. Kerjaya terakhir beliau adalah di India sewaktu mengendalikan kelab NorthEast United FC ke tangga kelima (sekadar di bawah kelayakan untuk kejuaraan 'playoff') Liga Super India.

Vingada, 64 tahun, dikenali sebagai seorang jurulatih yang mengamalkan corak kejurulatihan yang serius dan disertakan dengan cara beliau yang tegas dan dominan merupakan faktor utama beliau dipilih sebagai pilihan terbaik untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia.

"Saya mahu jurulatih yang juga boleh menjadi seorang guru. Dalam pasukan kebangsaan, ia tidak hanya mengenai kejurulatihan tetapi juga untuk memberi pendidikan kepada pemain kami. Dengan pengalaman dan usianya, kami melihat beliau sebagai jurulatih terbaik yang akan membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan. Kerjaya beliau bersama beberapa pasukan kebangsaan - dalam pasukan belia dan skuad utama - dan beberapa kelab yang telah beliau latih menunjukkan pengalaman beliau yang sangat banyak dalam etika kerjanya. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Vingada, dan harapnya, menemui kejayaan baru," titah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Setelah melihat banyak jurulatih, tempatan dan juga luar, melakukan kerja mereka, naluri saya menyatakan bahawa Vingada adalah individu yang tepat untuk tugas ini. Saya mungkin silap tetapi hanya masa yang akan menentukan," tambah Baginda.

Vingada, bagi pihaknya, berkata: "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana telah menghubungi saya dan kemudian bertemu dengan saya di Johor baru-baru ini. Ia merupakan satu penghormatan untuk melatih pasukan kebangsaan Malaysia. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan dan saya tidak sabar untuk memulakannya. "

Vingada akan tiba di Malaysia pada 25 Mei untuk memulakan tugasannya secara rasmi sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia dan memulakan kerjasama dengan para pemain.