DATUK Seri Afandi Hamzah menyifatkan pemilihan Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Yusoff Mahadi sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah tepat.
Katanya, kedua-dua individu terbabit mempunyai kredibiliti dan mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.
Pada Kongres FAM ke-53 di Petaling Jaya semalam, Afandi gagal mempertahankan jawatannya apabila sekadar menerima enam undi, berbanding Subahan (37 undi) dan Yusoff (33 undi).
"Perwakilan sudah membuat keputusan tepat dengan memilih calon terbaik bagi mengisi jawatan ini.
“Walaupun tewas saya tidak jadikan ini pematah semangat, sebaliknya akan terus berjuang untuk sukan bola sepak di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Afandi turut menolak kemungkinan penarikan diri Tan Sri Annuar Musa sebagai calon Presiden menjadi punca beliau tewas dalam pemilihan kali ini.
"Tiada faktor lain. Saya terima keputusan ini dengan seadanya," katanya.
Sumber : SINAR HARIAN