AMANAH Johor merakamkan ucapan tahniah kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim yang bakal dinobat sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hasan berkata, ia adalah anugerah bagi rakyat Johor.
"Usaha yang selama ini dilakukan oleh baginda dengan menaik taraf bola sepak negeri Johor telah berjaya membuka mata ramai pihak sehingga baginda hari ini dengan secara sahnya telah diberikan ruang menerajui bola sepak negara.
"Dalam prestasi bola sepak negeri sebelum ini saya dapat melihat di mana pasukan yang diterajui oleh baginda yakni Johor Darul Takzim (JDT) telah berjaya melakar sejarah bola sepaknya yang tersendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.
TMJ hanya akan disahkan sebagai Presiden FAM yang baharu Sabtu ini, setelah pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa telah menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut semalam.
Penarikan diri Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan sekali gus menyaksikan TMJ menang tanpa bertanding dalam pemilihan yang diadakan sempena Kongres ke-53 FAM Sabtu ini.
Sehubungan itu, Aminolhuda berharap naungan TMJ akan meningkatkan semula mutu dan prestasi bola sepak Malaysia ke arah yang lebih hebat serta berdaya saing lagi sekaligus menaikkan semula nama Malaysia di mata dunia.
"Dalam pengamatan saya, baginda mampu membawa pasukan bola sepak kebangsaan ke arah yang lebih dinamik serta mampu bersaing dengan pasukan-pasukan gergasi dunia sepertimana yang dapat dilihat terhadap pasukan JDT sebelum ini.
"Sekali lagi junjungan kasih serta ucapan tahniah daripada pihak Amanah Johor di atas penganugerahan jawatan Presiden FAM ke atas beliau," katanya lagi.
Sumber : SINAR HARIAN