Jangkaan itu menjadi kenya­taan hari ini apabila Tunku Ismail mengumumkan kedua-dua per­ubahan itu dalam sidang akhbar pertamanya selepas disahkan sebagai Presiden FAM untuk penggal 2017-2021.

Skuad B23 kini dikendalikan oleh Frank Bernhardt tetapi kedudukan jurulatih dari Jerman itu masih belum diputuskan oleh Tunku Ismail.

“Amanat ini amat besar dan saya menjangkakan banyak perkara yang perlu kita lakukan dan saya harap saya dapat berjumpa Presiden FAM secepat mungkin untuk kita memulakan langkah baharu atau program baharu kerana jadual amat padat. Kita ada kejohanan kelayakan Kejohanan AFC B23 dan Sukan SEA akan berlangsung tidak lama lagi.

“Seperti saya katakan, apa juga keputusan yang dilakukan oleh Presiden baharu saya akan terima dan sudah tentu saya perlu melihat apa yang saya boleh lakukan demi kebaikan bola sepak kita,” katanya kepada pemberita selepas Kongres FAM ke-53 di sini hari ini.

Kempen kelayakan AFC B23 bakal bermula 19 Julai dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan H bersama tuan rumah Thailand, Indonesia dan Mongolia manakala Sukan SEA pula akan berlangsung pada 19 Ogos hingga 31 Ogos.

Ketika ditanya mengenai penurunan pangkat tersebut, Kim Swee tidak menganggapnya sebagai satu masalah kerana sebelum ini beliau pernah memimpin skuad B23 sebanyak tiga kali iaitu pada 2011, 2013 dan dua tahun lalu.