Perlawanan yang sepatutnya diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV itu ditunda ke tarikh yang akan ditentukan kemudian ekoran kea­daan permukaan padang yang ditakungi air.

Kata Zahasmi peluang rehat itu akan digunakan sepenuhnya untuk memberi ruang kepada pemain import baharu mereka menyesuaikan diri dengan pemain sedia ada.

Kelantan membawa masa tiga import baharu bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2017 iaitu pertahanan Mamadou Danso, 33, dari Gambia serta dua penyerang, Alessandro Padovani Celin, 27, dari Brazil dan Mohammed Mahmoud Ghaddar, 33, dari Lubnan.

"Latihan tetap akan diteruskan walaupun hujan lebat namun kita akan meneruskan latihan di kawasan padang khas seperti gelanggang futsal," katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyambut baik keputusan penundaan perlawanan tersebut, apatah lagi isu cuaca adalah perkara yang di luar kawalan.

Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor berkata, keputusan itu tepat berikutan keadaan padang yang basah, becak serta akan mengganggu rentak permainan jika tetap dilangsungkan mengikut jadual asal.

"Ia satu keputusan bijaksana kerana mengambil kira faktor cuaca, risiko kecederaan pemain, keselesaan penonton dan kesan kepada kemudahan stadium.

"Sekiranya ia tetap dilangsungkan, ia jelas akan menjejaskan prestasi pasukan TRW dan turut menyukarkan pengadil untuk mengadili perlawanan," katanya.