MOHD. SAFEE SALI (kanan) dan Norshahrul Idlan Talaha
MARAN 21 Jan. - Felda United memulakan musim baharu Liga Super dengan langkah kanan selepas menundukkan Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) 1-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini malam ini.
Penyerang baharu skuad The Fighters, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo muncul wira pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-67.
Skuad The Fighters yang muncul naib juara Liga Super musim lalu mempamerkan aksi bertenaga dengan mengasak kubu lawan sebaik sahaja wisel permainan ditiupkan dengan mencipta beberapa gerakan berbahaya.
Peluang terbaik Felda United untuk membuka jaringan hadir pada minit ke-24 selepas dihadiahkan sepakan penalti namun tendangan Luca Matios diselamatkan penjaga gol skuad Red Ants, Muhamad Nor Haziq.
Terdahulu, The Fighters mencipta peluang pada minit ketujuh permainan apabila pemain importnya, Gaston Andres Javier menerima bola namun tandukannya ditepis keluar Muhamad Nor.
Penjaga gol PKNS FC itu sekali lagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi selang seminit kemudian apabila menolak keluar bola percubaan penyerang import Felda United, Zahan Krangar.
Babak pertama perlawanan berakhir tanpa jaringan.
Felda United terus mengasak ke kubu PKNS sebaik sahaja babak kedua bersambung dan hampir memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-50 namun sepakan dari luar kotak penalti pemain gantian, Fazrul Hazli Kadri sekadar menggegar palang gol.
PKNS FC turut mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol termasuk menerusi penyerang berbisa mereka, Mohd. Safee Sali pada minit ke-62 tetapi percubaannya ditampan pemain pertahanan lawan.
Jaringan yang ditunggu-tunggu Felda United akhirnya muncul lima minit selepas itu menerusi Norshahrul Idlan yang melepaskan rembatan leret ke penjuru kanan gawang PKNS untuk menewaskan Muhamad Nor.
Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat permainan. - UTUSAN ONLINE
SUMBER : UTUSAN