Annuar berkata, daripada keempat-empat calon yang bakal bertanding termasuk dirinya, beliau melihat Khairy sebagai individu paling layak untuk menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Malah, Annuar turut menyifatkan sebarang usaha untuk tidak menerima ahli politik dalam arena bola sepak tempatan bererti menafikan peranan majoriti pimpinan bola sepak negara dan negeri pada masa kini.

“Di antara mereka yang telah dicalonkan sebagai Presiden FAM, Khairy Jamaluddin adalah calon paling layak. Bukan saja beliau adalah individu yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan sukan negara tetapi beliau juga berpengalaman mengendalikan pasukan profesional (My Team). Beliau juga berpengalaman sebagai Timbalan Presiden FAM.

“Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia, Persatuan Bola Sepak India adalah 12 daripada 19 badan gabungan yang pernah atau sedang dipimpin oleh orang politik (daripada pelbagai latar belakang, DAP, PKR, PAS dan UMNO).

“Sementara beberapa negara anggota FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dipimpin orang politik termasuk menteri dan bekas menteri kabinet. Presiden FAM yang menolak atau tidak bekerjasama dengan orang politik bakal gagal membangunkan bola sepak negara dengan berkesan.

“Ini kerana pembangunan bola sepak Malaysia memerlukan persefahaman dan kerjasama pelbagai pihak dalam suasana saling menghormati dan penuh muafakat,” kata Annuar menerusi akaun Facebook miliknya.

Selain Annuar dan Khairy, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat turut menerima pencalonan daripada ahli gabungan.

Dalam pada itu, Annuar sependapat dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa populariti calon tidak menjadi keutamaan sebaliknya kebolehan untuk memimpin adalah elemen yang dicari-cari.

“Pencalonan diri saya tidak lagi relevan apabila Khairy sudi menerima pencalonan dirinya. Semoga berjaya Khairy,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE


SUMBER : UTUSAN