Keempat-empat pasukan pa­ling banyak memancing bintang tempatan, sekali gus memberi amaran awal kepada pencabar mereka tentang ke­seriusan untuk mencabar kejuaraan Liga M musim ini.

Juara Liga Super, JDT mempunyai perancangan tersendiri apabila lebih berminat mendapatkan pemain muda bagi memperkuatkan pasukan selepas mencipta sejarah menjuarai liga buat kali ketiga berturut-turut, selain menjulang Piala AFC.

Tiga tonggak Selangor disambar JDT diketuai Pemain Paling Bernilai 2016, Ahmad Hazwan Bakri, selain R. Gopinathan dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor. Skuad Harimau Selatan turut mendapatkan khidmat Syahrul Azwari Ibrahim, selain import baharu dari Argentina, Brian Ferreira serta Gonzalo Cabrera.

Bagi Pahang, selepas hampir tersingkir ke Liga Perdana musim lalu rombakan besar-besaran dilakukan bagi memastikan aksi mengecewakan tidak berulang.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengeluarkan peruntukan besar serta memanggil kembali jurulatih yang pernah menjulang Tok Gajah, Dollah Salleh.

Malah musim ini, ramai pemain berkualiti dimiliki Pahang iaitu Joseph Kalang Tie, Nurridzuan Abu Hassan, Christie Jayaseelan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Ashaari Samsudin.

Pendatang baharu Liga Super, Melaka turut mencuri tumpuan dengan membawa masuk penyerang kebangsaan, Amri Yahyah dari JDT, selain menggugurkan jurulatih, Mat Zan Mat Aris yang membantu pasukan itu mendaki ke Liga Super 2017.

Skuad Sang Kancil sebaliknya menggunakan jurulatih dari Australia, Eric Williams.
Selain Amri, Melaka turut mengikat beberapa nama besar seperti Faizal Muhammad, Mohd. Fauzi Roslan dan Mohd. Firdaus Mohamad.

Perak yang lebih gemar mengetengahkan pemain muda musim lalu, berubah a­ngin apabila menyambar empat tonggak berpengalaman - Shahrom Kalam, Mohd. Hafiz Kamal, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak dan Abdul Hadi Yahya, selain memiliki dua pemain JDT iaitu Nazrin Nawi serta Jasazrin Jamaluddin.

Keseriusan Perak, Pahang dan Melaka dalam menghadapi Liga M 2017 jelas memberi amaran kepada JDT, Felda United serta Kedah bahawa perebutan kejuaraan musim ini pasti jauh lebih sengit berbanding 2016.