Pengerusinya, Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, Maj­lis Anugerah Puskas di Zurich, Switzerland itu merupakan acara berprestij dan diikuti masyarakat seluruh dunia, sekali gus merupakan platform terbaik menonjolkan keunikan seni budaya masyarakat Melayu.

Sementelah, tambah beliau, Mohd. Faiz sendiri sebelum ini menyatakan hasrat mengenakan pakaian itu dan berucap dalam bahasa Melayu sekiranya dipilih menerima anugerah tersebut yang disifatkan sebagai semangat jati diri yang tinggi dalam generasi muda.

“Sebab itu juga kita menghadiahkan sepersalinan baju Melayu yang lengkap dengan tanjak atau tengkolok serta songket buatan istimewa dari Melaka kepada Mohd. Faiz dengan harapan beliau boleh memakainya dalam majlis itu minggu depan.

“Selain sebagai suntikan ­semangat untuk Mohd. Faiz, sumbangan sepersalinan baju Melayu ini juga bertujuan memperkenalkan tradisi masyarakat Melayu di negara ini kepada masyarakat dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan sumbangan baju Melayu yang bernilai kira-kira RM3,000 kepada Mohd. Faiz di Bayan Baru, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yusoff Latiff.

Dalam pada itu, Mohd. Faiz yang melahirkan rasa terharu dengan sumbangan Ismma ber­kenaan, dia tetap menaruh harapan dapat menghadiri majlis berkenaan dengan berpakaian Melayu meskipun menyedari harus menghormati protokol ditetapkan penganjur.

Berkongsi perasaannya menjelang anugerah yang akan diadakan pada 9 Januari ini, dia yang berlepas ke Zurich Sabtu ini mengakui, semakin berdebar-debar dan dalam masa sama teruja dengan pengalaman yang bakal dilaluinya.

Kata Mohd. Faiz, dia tidak menaruh harapan tinggi untuk di­pilih menerima anugerah tersebut kerana menyifatkan tersenarai antara tiga calon akhir juga adalah kejayaan buatnya serta negara.

“Tidak pernah sesekali saya bermimpi untuk berada bersama barisan pemain bola sepak ternama dari seluruh dunia pada maj­lis itu dan pengalaman ini amat berharga,” katanya.