RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!
Ahad, 11 Jun 2017
Ismail: KAFA anggap tawaran itu langkah terbaik kepada semua pihak
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyambut baik usaha terbaharu penaja The Red Warriors (TRW) musim ini yang tampil mengemukakan satu pelan penyelesaian kepada semua pemain yang menghadapi masalah tunggakan gaji bagi musim 2015 dan 2016.
Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md. Noor, berharap tawaran menarik yang dbuat oleh pihak ketiga itu membolehkan situasi ‘menang-menang’ di mana pemain dapat menerima bayaran gaji secara tunai dan KAFA pula lebih fokus dalam membentuk skuad yang mantap untuk bersaing dalam baki saingan Liga Malaysia.
“Terima kasih kerana masih ada pihak yang bersimpati dan sayangkan bola sepak Kelantan dengan tampil memberi tawaran ini. Perlu dijelaskan bahawa tawaran ini adalah daripada pihak ketiga (penaja) yang ingin melihat konsep ‘menang-menang’ diterjemahkan dalam isu menyelesaikan tunggakan gaji pemain Kelantan.
“Pemain akan mendapat bayaran tunai sebagaimana yang dijanjikan dan KAFA pula dapat menumpukan lebih perhatian kepada pembentukan skuad TRW yang mantap bagi bersaing dalam Liga Malaysia,” katanya.
Ismail juga memuji tindakan yang dilakukan Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa, yang sentiasa memberikan cadangan demi membantu persatuan keluar daripada isu hutang gaji pemain yang tertunggak sekian lama.
“Tawaran ini juga membuktikan usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan oleh Tan Sri Annuar untuk membantu KAFA menyelesaikan segala hutang tertunggak. Bagi memastikan ketelusan, tawaran ini akan dikeluarkan terus oleh firma guaman secepat mungkin kepada pemain atau pengawai yang terlibat.
“Sekali lagi saya tegaskan, pemain atau pegawai diberi hak untuk membuat pilihan sama ada menerima atau menolak tawaran ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail juga mengulangi pendirian KAFA untuk berusaha melunaskan semua tunggakan tersebut, namun aliran tunai persatuan tidak mengizinkan untuk berbuat demikian.
“KAFA berpendapat tawaran ini adalah satu langkah terbaik untuk semua pihak. Dengan tawaran ini pemain akan mendapat haknya dengan lebih cepat dan dalam masa yang sama menyumbang dan membantu KAFA yang cukup berjasa selama ini,” katanya.
Sumber : STADIUM ASTRO
Penulis : Farizal Yusoff