Ifwat Akmal Che Kassim. Photo: Utusan.com.my
NAMA penjaga gol muda Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim kini tular dikaitkan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila penjaga gol utama pasukan tersebut, Farizal Marlias digantung 12 bulan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana mengasari pengadil pada aksi Piala AFC lalu, lapor WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR.
Penjaga gol utama Harimau Selatan itu turut didenda RM170,581 kerana menolak pengadil dari China, Fu Ming, di akhir perlawanan menentang kelab Filipina, Ceres Negros FC di Bacolod City pada 31 Mei lalu.
Selain Ifwat Akmal, turut dikaitkan dengan kelab selatan tanah air itu adalah penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid, penjaga gol Felda United, Farizal Harun dan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani.
Pemain berusia 21 tahun itu kini bersama skuad Bawah 22 Tahun di China untuk aksi persahabatan di sana bagi persiapan Sukan Sea 2017.
Bagaimanapun, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar melalui khidmat pesanan Whatsapp berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan dari JDT untuk mendapatkan Ifwat Akmal.
“Setakat sekarang (tengahari semalam) saya belum terima apa-apa surat tawaran dari mereka,” katanya.
Penjelasan Aminuddin itu pastinya melegakan keresahan dalam kalangan penyokong setia Lang Merah apabila jendela Perpindahan Kedua Pemain Liga Malaysia (Liga-M) 2017 yang ditutup hari ini hampir pasti untuk melihat Ifwat Akmal terus kekal di bumi Alor Setar.
Sumber : SINAR HARIAN