RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!
Khamis, 27 April 2017
Ulasan Perlawanan Kelantan menentang Sarawak berakhir dengan seri
PEMAIN Sarawak, Mateo Roskam (tengah) melepaskan rembatan kencang di hadapan pintu gol lawan dalam perlawanan Liga Super menentang Kelantan di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching. - Foto Nadim Bokhari
PETRA JAYA: Sentuhan penyudah tumpul terus menghantui Sarawak apabila terikat tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, sebentar tadi.
Kelebihan beraksi di laman sendiri nyata gagal dimanfaatkan sepenuhnya meskipun pasukan kendalian David Usop dilihat mampu mencipta kemenangan yang dicari.
Bermula garang seawal minit kelapan, tandukan Tommy Mawat Bada melepasi palang gol diikuti cubaan Shreen Tambi pada minit ke-29 sedikit melambung.
Perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan mengamalkan corak permainan berhati-hati namun kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, tuan rumah mula memperkemaskan jentera serangan dengan mengasak kubu pertahanan Kelantan.
Mateo Roskam terlepas peluang menjaringkan gol pertama pada minit ke-54 selepas percubaan Tommy dari luar kotak penalti terkena tiang.
Kelantan kembali mengimbangi perlawanan dengan melakukan serangan balas ketika Sarawak ghairah menggempur benteng pelawat.
Kapten Kelantan, Badhri Radzi hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-65 ketika berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, Shahril Saari namun percubaannya ditepis keluar.
Sarawak seakan hilang punca ketika Kelantan mula mengawal perlawanan dan menggandakan asakan memaksa barisan pertahanan yang diketuai Ronny Harun bekerja keras di bahagian bawah namun tiada jaringan disaksikan sehingga tamat permainan.
Sumber : BHARIAN