Kota Kinabalu: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Yusoff Mahadi menafikan dakwaan wujud unsur sabotaj terhadap pasukan Kedah apabila badan induk bola sepak tanah air itu mahu memancing jurulatih Tan Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya.
Katanya, rancangan disusun Presiden FAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah untuk memastikan hanya yang terbaik untuk bersama dalam projek revolusi Harimau Malaya itu.
“Saya tak nampak unsur sabotaj kerana FAM tidak akan memaksa Cheng Hoe menerima tawaran itu. Tunku Ismail hanya mahu yang terbaik untuk Harimau Malaya. Konsepnya sama, pemain terbaik akan mewakili Harimau Malaya dan jurulatih terbaik akan mengendalikan Harimau Malaya.
“Jika kita tanya siapa jurulatih tempatan terbaik sekarang, semua orang akan mengakui Cheng Hoe yang terbaik. Saya percaya Cheng Hoe juga seperti pemain mahu menyumbang sesuatu untuk skuad kebangsaan,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Isu pelantikan Cheng Hoe menjadi kontroversi selepas calon jurulatih Harimau Malaya sebelum ini Mario Gomez menafikan beliau memilih pengendali Kedah itu sebagai penolong jurulatih kebangsaan.
Dalam laporan Arena Metro semalam, Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPAK) Nor Hasmadi Hamzah menyuarakan rasa pelik dengan percanggahan kenyataan yang dianggapnya seperti ada agenda tersembunyi.
Penyokong Helang Merah mahu Cheng Hoe terus kekal di Darul Aman selepas Kedah berada dalam prestasi baik untuk memburu gelaran domestik.
Menurut Yusoff, beliau menggesa semua pihak supaya memberi ruang kepada Tunku Ismail merencana perancangan terbaik buat skuad kebangsaan.
“Jika bukan Gomez yang membimbing skuad kebangsaan, saya percaya TMJ akan mencari jurulatih terbaik. Jadi lebih baik kita bersama-sama menyokong perubahan yang ingin dilakukan,” katanya.
Sumber : METRO