Penjaga gol Kelantan, Khai­rul Fahmi Che Mat berkata, walaupun selama ini pemain sering menafikan bahawa krisis yang melanda badan induk itu menjejaskan tumpuan mereka, namun hakikatnya ia sedikit sebanyak memang mengganggu fokus pemain ketika menjalani latihan.

Kafa tidak meneruskan hasrat menarik diri daripada Liga M selepas bekas presiden­nya, Tan Sri Annuar Musa mela­lui dua syarikat yang diterajui iaitu Alhamra Group dan RedOne bakal menjadi penaja rasmi Kelantan dengan menyediakan dana permulaan RM6 juta untuk skuad berkenaan.

“Alhamdulillah pemain Ke­lantan bersyukur kerana kami dapat beraksi musim depan. Periuk nasi kami juga masih terjaga.

“Kami begitu bersyukur dengan apa yang Tan Sri Annuar lakukan. Dengan bantuan beliau, kami dapat meneruskan cabaran untuk liga musim depan. Kami juga berharap kebajikan semua pemain Kelantan turut terpelihara.

“Sebelum ini, kami berlatih dalam keadaan bermasalah. Tidak dinafikan, masalah ter­sebut sedikit menjejaskan tum­puan pemain.

“Namun, tidak mengapa kerana sekarang masalah itu sudah selesai dan kami boleh melakukan persiapan dengan lebih lancar,” kata Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek.

Sementara itu, kapten TRW, Mohd. Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, keputusan Annuar menamatkan kerisauan dia dan rakan-rakan sepasukan mengenai masa depan mereka.

Menurutnya, hal ini kerana bola sepak merupakan periuk nasi mereka untuk menyara keluar­ga dan meneruskan kehidupan.

“Saya mewakili rakan-rakan sepasukan mengucapkan terima kasih kepada Annuar kerana masih sudi membantu TRW walaupun sudah melepaskan jawatan sebagai presiden Kafa.

“Usaha yang dilakukan oleh beliau amat besar ertinya buat kami sebagai pemain TRW, terma­suklah barisan kejurulatihan pasukan,” katanya.

Piya memberitahu, dia dan rakan-rakan sepasukan kini mahu fokus terhadap sesi latihan bagi menghadapi musim baharu.

Katanya, dia bertekad memberi sesuatu yang positif kepada pasukan musim ini.

“Kalau pasukan lain fikir mereka kuat, Kelantan pun sama. Kita masih ada pemain berkualiti dan muda yang mampu memberi saingan kepada pasukan lain.

“Saya harap rakan-rakan se­pasukan akan memberikan aksi terbaik musim ini dan membawa kejayaan kepada TRW serta penyokong,” ujarnya.

Selain Piya dan Apek, antara pemain senior lain yang masih setia bersama Kelantan adalah ­Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Farisham Ismail serta Mohd. Norfarhan Mohammad.

- UTUSAN