Menyelusuri kisah hidupnya yang boleh diibaratkan ‘kisah dongeng moden’ bola sepak, pemain Chelsea berusia 29 tahun itu dilahirkan di sebuah bandar miskin, Lagarto yang terletak di timur laut Brazil.

Dia pernah melalui pelbagai kesukaran sebelum menjadi antara peledak terkemuka dalam liga bola sepak paling po­pular di dunia.

Pada usia remajanya, Costa atau nama penuhnya Diego da Silva Costa pernah menjadi pemandu lori bersama bapa saudaranya di Brazil sebelum berhijrah ke Eropah menerusi pinjaman ke empat kelab.

Dia memulakan karier bola sepak pada usia 16 tahun bersama kelab divisyen dua, Barcelona EC yang terletak di Ibiuna, Sao Paolo sebelum dipinjamkan ke Braga, Celta Vigo, Albacete dan kemudian menyertai Valladolid secara tetap pada 2009.

Karier Costa mula melonjak apabila dia menyertai Atletico Madrid pada 2010 dan dia menghabiskan empat tahun bersama kelab Sepanyol itu sebelum mengembangkan sayap ke Chelsea pada 2014

Costa antara pemain yang paling diingati kakitangan Alba­cete selepas dia dengan bera­ni memperjuangkan nasib kakitangan pasukan yang tidak menerima gaji.

“Kelab memutuskan untuk hanya membayar gaji pemain tetapi tidak akan mebayar gaji kakitangan dan Diego kemudian tidak hadir ke sesi latihan sehingga semua menerima bayaran gaji.

“Selama 35 tahun saya be­kerja, tiada mana-mana pemain berani bertindak sedemikian.

“Suatu hari, presiden kelab datang melawat bilik persalinan dan berjabat tangan dengan semua pemain. Setibanya giliran Diego, dia bertindak untuk tidak menyambut salam presiden dan berkata: “Saya tidak akan bersalam dengan awak sehingga semua kakitangan menerima gaji mereka,”.” kata doktor kelab Albacete, Eduardo Rodriguez Vellando.

Rakan sepasukannya di Valladolid, Alberto Marcos me­ngakui, Costa memiliki dua personaliti bertentangan ketika di dalam dan di luar padang.

“Apa yang berlaku di dalam padang kekal di dalam padang. Dia mungkin akan bergaduh dan hampir mahu membunuh anda tetapi selepas itu dia boleh menikmati makan malam bersama anda, dia bukan seorang yang pendendam,” katanya.

Pada 2014, Costa telah me­nimbulkan kemarahan rakyat Brazil apabila bertindak menyertai skuad kebangsaan Sepanyol dan salah seorang penjual kereta menggunakan slogan ‘Tidak se­perti Diego Costa, kereta ini adalah kebanggaan rakyat Brazil’.

- UTUSAN