Terdahulu, pemain Pulau Pinang itu menerusi tweetnya memberitahu, dia berharap dapat berjumpa dengan bintang Portugal dan Real Madrid, Ronaldo pada majlis yang akan berlangsung di Zurich pada pukul 6 petang waktu Switzerland (Selasa pukul 1.30 pagi siaran langsung Astro Arena 801).

“@Cristiano Saya di Zurich sekarang, harap dapat bertemu dengan anda sekejap lagi,” ujarnya.

FIFA bagaimanapun bersikap ‘sporting’ dengan membalas tweet Mohd. Faiz berhubung impiannya itu.

“@Cristiano, boleh kita merealisasikannya?,” katanya yang bagaimanapun masih belum mendapat reaksi daripada pemenang anugerah berprestij Ballon d’Or buat kali keempat, Ronaldo setakat ini.

Pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu akan bersaing dengan pemain Brazil, Johnath Marlone Azevedo da Silva dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela untuk menjadi pemenang anugerah itu, yang diberi kepada penjaring gol paling cantik sepanjang musim 2016.

Ronaldo juga akan hadir pada majlis berprestij itu selaku finalis Pemain Terbaik Dunia 2016 di samping Antoine Griezmann dari Perancis dan pemain prolifik Barcelona, Lionel Messi.

Klip video jaringan ajaib Mohd Faiz itu, yang pertama kali dimuat naik FIFATV pada 21 Nov lalu melalui YouTube, setakat ini ditonton lebih 2.4 juta kali, manakala jaringan Marlone dan Rodriguez masing-masing ditonton hanya lebih sejuta kali.

SUMBER : UTUSAN ONLINE