RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!
Rabu, 25 Januari 2017
Hamidin turut dicalonkan timbalan presiden FAM
KUALA LUMPUR: Persaingan bagi merebut dua kerusi timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga tidak kurang hebatnya selepas ada kejutan apabila setiausaha agungnya, Datuk Mohd Hamidin Mohd Amin turut dicalonkan bagi jawatan terbabit.
Bukan sahaja Hamidin, malah beberapa nama besar dalam industri bola sepak negara turut dicalonkan bagi merebut jawatan itu pada Kongres Pemilihan FAM ke-53, 25 Mac ini dengan timbalan presiden sedia ada, Datuk Seri Afandi Hamzah mengambil keputusan untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada kongres yang lalu.
Namun, Hamidin dan Afandi bakal dicabar oleh naib presiden, Datuk Rozabil Abdul Rahman; EXCO FAM, Datuk Yusoff Mahadi dan bekas naib presiden, Datuk Seri Subahan Kamal dengan lima lagi calon masih belum didedahkan.
Hamidin yang ditanya mengenai pencalonan yang diperolehnya itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan masih terus 'berahsia' sama ada mahu bertanding atau tidak.
"Tunggu 20 hari bulan nanti. Jadi saya harapkan pihak media dapat bertenang," katanya ringkas.
Sementara itu, Yusoff turut mengambil pendekatan sama apabila enggan mengulas mengenai pencalonannya sebagai timbalan presiden, namun mahukan ahli gabungan supaya dapat memilih calon yang mampu melakukan perubahan dan membantu presiden.
"Satu perkembangan positif kerana ramai yang menawarkan diri untuk berkhidmat dengan FAM pada tahun ini dan saya dimaklumkan ramai tokoh hebat turut bersaing.
"Jadi, berkemungkinan kita perlu duduk semeja untuk membincangkan calon yang terbaik bagi membantu presiden," katanya.
Semua calon bakal menerima borang pengesahan pencalonan daripada Sekretariat FAM dan mereka perlu membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak sebelum 13 Februari ini.
Senarai akhir calon akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco terlebih dahulu selepas diumumkan pada 20 Februari ini.
SUMBER : BERITA HARIAN