Dalam kemala­ngan pada pukul 8.05 malam itu, Muhammad Fazly, 23, memandu kereta Audi S5 dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru setelah menghabiskan cuti selama dua hari bersama keluarganya.

Menurut Muhammad Fazly, dia tidak mengalami apa-apa kecederaan dalam kejadian terbabit yang berlaku kira-kira satu kilometer dari kediaman keluarganya di Serom, di sini.

Muhammad Fazly

“Saya baru keluar dari rumah yang terletak berdekatan lokasi kejadian, saya memandu seorang diri untuk pulang ke Johor Bahru bagi menyertai sesi latihan bersama JDT yang akan bermula malam ini.

“Ketika memandu di jalan terbabit, sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki tiba-tiba keluar simpang, saya tidak sempat mengelak atau menghentikan kereta kerana jarak­nya begitu dekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Muhammad Fazly, dia sudah memberi keterangan kepada polis berhubung kejadian tersebut dan kini berada di Johor Bahru untuk memulakan sesi latihan se­perti biasa.

“Memang saya masih terkejut de­ngan kejadian itu, namun saya me­nyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan perlu fokus kepada latihan,” katanya yang memberitahu bahagian depan keretanya mengalami kerosakan ekoran kemalangan itu.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal terbabit keluar dari simpang secara tiba-tiba menuju ke jalan utama dan pada masa sama kereta dipandu Muhammad Fazly tidak sempat mengelak lalu berlaku kemalangan.

“Mangsa berusia 30 tahun yang menunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Tangkak untuk proses bedah siasat,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.