Kejayaan beliau itu, kata beberapa legenda bola sepak tanah air yang dihubungi Utusan Online, satu pencapaian yang patut dibanggakan kerana bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan bahkan ia belum pernah dicapai oleh mana-mana pemain bola sepak negara sebelum ini.

Selain nasihat tersebut, para legenda bola sepak tanah air yang dihubungi Utusan Online turut menyatakan bahawa Mohd. Faiz telah menunjukkan profesionalisme tinggi sebagai seorang pemain bola sepak kerana menghormati majlis anugerah tersebut dengan mengenakan pakaian yang bersesuaian.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Dali Omar, masyarakat perlu sedar yang dunia kini berada di era moden yang mana apa yang penting ialah pencapaian bukannya pakaian.

“Mohd. Faiz merupakan anak tempatan yang pertama malah warga Asia yang pertama menerima anugerah yang amat berprestij itu. Itu yang penting dan wajar diberikan perhatian dan sokongan kerana ia satu kejayaan besar yang belum pernah dikecapai oleh mana-mana pemain negara,” katanya.

Pendapat bekas jurulatih pasukan Olympics Kingsway, Australia itu turut disokong oleh bekas pemain penyerang kebangsaan, Zainal Abidin Hassan yang menambah, sebagai seorang pemain bola sepak profesional, Mohd. Faiz telah mempamerkan semangat profesionalisme yang tinggi.

“Salah jika ada pihak yang mengatakan Mod. Faiz tidak menghargai pakaian kebangsaan kerana dia bersikap profesional dan menghormati majlis penganugerahan tersebut dengan mematuhi protokol pakaiannya,” kata beliau.

Pendapat berkenaan turut disokong oleh wira pasukan bola sepak Olimpik 1980 negara, Hassan Sani yang menambah, daripada mempertikaikan pemilihan pakaian Mohd. Faiz, lebih baik semua pihak memikirkan bagaimana untuk melahirkan pemain berbakat seperti beliau.

“Mohd. Faiz membuktikan para pemain kita mempunyai potensi tinggi untuk maju ke peringkat yang lebih tinggi dan kita wajar menjadikan beliau contoh bagi melonjakkan lagi mutu para pemain negara,” kata beliau.

Untuk rekod, Mohd. Faiz Subri mencipta sejarah baharu arena bola sepak Asia apabila menjadi pemain pertama benua ini memenangi Anugerah Puskas, iaitu anugerah gol tercantik sempena Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 yang berlangsung di Zurich, Switzerland, awal pagi tadi.

Pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama menerima anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puska, yang pernah menjulang nama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an. - UTUSAN ONLINE

SUMBER : UTUSAN