Vingada ‘diserang’ dengan soalan tersebut ketika diperkenalkan secara rasmi sebagai pengendali skuad kebangsaan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari ini.
Akhbar dalam talian yang berpangkalan di Hong Kong, Asia Times pada 11 Mei lalu mendakwa, jurulatih kelahiran Portugal yang dikenali sebagai ‘The Professor’ itu pernah membantu Mao membeli pegangan yang membolehkannya mengawal kelab Portugal, Atletico CP.
Tindakan itu dikatakan bagi membolehkan ahli perniagaan dari China tersebut memanipulasi keputusan perlawanan.
“Bagi memperjelaskan keadaan, saya tiada kaitan langsung dengan Eric Mao. Saya pernah bermain buat Atletico CP dan ketika mereka meminta bantuan saya, saya masih mempunyai kontrak bersama Iran.
“Ketika itu, Presiden Atletico yang meminta bantuan saya dan bukan Eric Mao. Dia bertanya kepada saya sama ada saya boleh bantu mereka (mencari pembeli saham) kerana saya berada di China ketika itu, saya beritahu mereka, okay saya boleh tolong.
“Saya tolong kelab itu biarpun mempunyai kontrak bersama Iran dan cuma dua atau tiga bulan memandangkan situasi pada waktu itu tidak begitu baik.
“Anda boleh baca apa-apa sahaja mengenai saya di mana-mana,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pertamanya di sini hari ini.
Mao, bookie yang paling dikehendaki Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan kepada media bahawa dia pernah berurusan dengan Vingada ketika mahu membeli pegangan Atletico CP pada 2013.
Tunku Ismail ketika ditanya mengenai perkara itu menganggap isu tersebut tidak membimbangkannya, biarpun ada pihak beranggapan kemasukan Vingada yang pernah dikaitkan dengan bookie mampu ‘membuka pintu’ kepada aktiviti tidak sihat dalam bola sepak Malaysia.
Dalam perkembangan ber­kaitan, Vingada mengakui, dia tidak mempunyai banyak masa untuk mempersiapkan Harimau Malaya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2019, namun itu tidak menjadi masalah besar.
“Kalau tanya mana-mana jurulatih sekali pun masa tidak akan pernah cukup. Masa dalam bola sepak sesuatu yang sukar diperoleh sebab ia sentiasa pendek.
“Sebelum ini ketika saya mengambil alih Arab Saudi saya ada masa sebulan sebelum menghadapi Piala Asia dan kami menang. Semuanya bergantung kepada situasi.
“Jujurnya saya tidak tahu banyak perkara mengenai bola sepak Malaysia tapi sekarang saya sudah ada di sini dan cuba lakukan yang terbaik.
“Sasaran utama adalah menentang Lebanon. Saya tahu berdasarkan lawan di peringkat kumpulan Malaysia mempunyai ranking pa­ling teruk,” kata Vingada.
Vingada, 64, yang turut membawa dua pembantu jurulatih­nya menyertai Harimau Malaya berkata, dia akan mendapatkan segala maklumat yang diperlukan daripada Tan Cheng Hoe bagi mengenali pemain tempatan de­ngan lebih baik.
“Semua maklumat saya peroleh daripadanya (Cheng Hoe) dan untuk menghadapi Lebanon pemain akan dikumpulkan pada 28 Mei ini.
“Sehari selepas itu mereka boleh memulakan latihan, namun pemain Johor (Johor Darul Ta’zim) akan menyertainya kemudian pada 2 Jun,” katanya.
Skuad Harimau Malaya akan menentang Lebanon dalam aksi pertama kelayakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 13 Jun ini, manakala JDT dijadual bertemu Ceres dalam kempen Piala AFC di Stadium Panaad Park, Bacolod pada 31 Mei.