Keempat-empat pemain iaitu Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Razak, S. Kunanlan dan Mohd. Amirulhadi Zainal disenaraikan oleh ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Nelo Vingada bagi menghadapi aksi sulung kelayakan Piala Asia menentang Lebanon di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun ini.
Mereka sebelum ini pernah menggemparkan arena bola sepak tanah air apabila membuat keputusan untuk bersara daripada pentas antarabangsa secara mengejut pada Julai 2016.
Persaraan itu tersebut telah memberi kesukaran kepada pengendali Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee untuk menghadapi kempen Piala AFF 2016.
Harimau Malaya tidak melepasi peringkat kumpulan dalam kejohanan tersebut.
Ini merupakan panggilan sulung yang dibuat oleh Vingada, pengendali berusia 64 tahun dari Portugal yang diumum sebagai jurulatih baharu pada 15 Mei lalu bagi menggantikan tempat Kim Swee yang kini dilantik sebagai pengendali skuad Projek Sukan SEA 2017.
Vingada akan dibantu oleh bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, 49, dan Joao Arnaldo Correia De Carvalho, 59, dari Portugal.
Turut membantu adalah jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz, 41 dan jurulatih kecergasan, Francisco Jose Bruto Da Costa, 36, dari India.
Tiga belas daripada senarai 22 pemain skuad kendalian Kim Swee yang beraksi di Manila dalam perlawanan persahabatan, 22 Mac lalu dikekalkan oleh Vingada untuk kem latihan pusat kali ini.
Baki 13 lagi pemain pula terdiri daripada sama ada muka baharu atau mereka yang dipanggil semula menyertai Harimau Malaya.
Daripada jumlah itu, 10 adalah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Safiq , Mahalli Jasuli, S. Chanthuru, Azammuddin Akil, Amirulhadi, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Fazly Mazlan, Aidil, Kunanlan dan Izham Tarmizi Roslan.
Tiga pemain Pahang yang dipanggil semula adalah Nor Azam Abdul Azih, Ahmad Sya­mim Yahya serta Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.
Seramai 15 pemain akan melapor diri pada 29 Mei ini manakala 11 pemain JDT perlu melapor diri pada 2 Jun selepas selesai tugasan Piala AFC 2017 bertemu Ceres di Filipina.