Difahamkan penyerang dari Lebanon itu, yang telah menjaringkan 18 gol dalam 12 perlawanan liga termasuk dua jaringan hatrik dalam tempoh tiga hari iaitu ke atas Perak dan T-Team, cuba dipancing oleh Harimau Selatan.
Dua pemain pertahanan Mohd. Qayyum Marjoni Sabil serta Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim pula masing-masing telah dirisik oleh Felda United dan Melaka United apabila pasaran perpindahan dibuka pada 16 Jun ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md. Nor berkata, semua pemain itu adalah aset The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim 2017 dan mereka tidak akan dilepaskan walaupun persatuan ditawarkan yuran perpindahan lumayan.
“Saya mengakui Kafa ada menerima tawaran rasmi daripada beberapa pasukan yang mahu mendapatkan khidmat ketiga-tiga pemain tersebut.
“Walaupun Kelantan pasukan miskin yang berdepan masalah kewangan, namun kami tetap akan berusaha mencari dana untuk memastikan kebajikan pemain terus dijaga dengan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ismail memberitahu, Nik Mohd. Shahrul Azim masih mempunyai kontrak hingga 2018 manakala Qayyum hingga akhir musim ini.
Katanya, Kafa juga sudah mengadakan rundingan susulan dengan Ghaddar untuk memastikan pemain berusia 33 tahun itu kekal bersama TRW hingga akhir musim.
“Pada musim 2013, sebanyak lapan pemain TRW telah dicuri pasukan negeri lain. Keadaan itu, menyaksikan pasukan kami mengalami kejatuhan prestasi secara mendadak. Alhamdulillah kami masih mampu bertahan hingga hari ini,” katanya.