Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan menye­rahkan kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membenarkan pembentangan rang undang-undang tersebut dilakukan.
“RUU 355 ini akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai rang undang-undang persendirian dan kita akan serahkan kepada Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat) untuk membenarkan pembentangan itu dilakukan setelah semua urusan kerajaan selesai.
“Kita juga akan serah pada budi bicara Speaker sama ada hu­raian pindaan ini akan diberikan secukupnya dan juga perbahasan akan dibuat atau sebaliknya, tetapi saya yakin pengundian tidak akan dilakukan, walau bagaima­napun terserah kepada Speaker untuk menentukan tatacara da­lam persidangan Dewan Rakyat itu diikuti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Ke-24 di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pence­gahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye serta dua Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Kamarudin Md. Ali dan Datuk Seri Ayub Yaakob.
Rabu lalu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak membentangkan RUU 355 selaras dengan dasar dan amalan BN yang membuat keputusan berdasarkan persetujuan bersama.
Menurut Perdana Menteri, ia akan terus menjadi rang undang-undang persendirian dan terserah kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menentukan peraturan mengenainya.
Sementara itu, mengulas me­ngenai tindakan mahkamah oleh pihak tertentu untuk menghalang pembentangan RUU 355, Ahmad Zahid berkata, beliau sedar bahawa tindakan itu merupakan hak mereka sebagai masyarakat awam.
“Bagaimanapun, Dewan Rak­yat mempunyai peraturan sendiri untuk menggunakan tatacara sedia ada bagi melaksanakan sistem perundangan melalui kuasa Yang Dipertua Rakyat sama ada RUU 355 itu boleh dibentangkan secara rang undang-undang persendirian atau cara lain,” jelasnya.