Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kesemua remaja berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan polis kira-kira pukul 3 pagi semasa menjalankan Op Gempur susulan aduan yang diterima pihak polis. 
“Susulan aduan tersebut, polis pergi ke lokasi dan mendapati lebih 30 remaja berkumpul di lokasi kejadian yang meragut nyawa lapan remaja berbasikal pada bulan lalu.
“Menyedari kehadiran polis, sekumpulan remaja berkenaan bertempiaran lari dan polis sempat menahan 14 penunggang basikal serta lapan orang yang menonton. Daripada kesemua individu itu, 15 yang ditahan masih bersekolah,” katanya. 
Sulaiman berkata, kesemua remaja tersebut dibawa ke Balai Polis Trafik JBS untuk siasatan lanjut dan 14 saman dikeluarkan di bawah Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalulintas 1959. - UTUSAN ONLINE