KOTA BHARU. – The Red warriors (TRW) akan menurunkan barisan terkuat dalam usaha meraih tiga mata pada pertemuan Liga Super menentang Melaka United di Stadium Sultan Muhammad IV.
Pengendalinya, Zahasmi Ismail berkata, dia lega apabila penyerang sensasi mereka, Mohamad Ghaddar sudah pulih daripada kecederaan yang dialami sebelum ini.
Menurutnya, kehadiran pemain itu memberikan 'ilham' untuk menyediakan ramuan terbaik bagi memastikan kemenangan berpihak kepada TRW.
“Walaupun terpaksa melupakan khidmat Alessendro Cellin yang mengalami kecederaan, namun kehadiran Ghaddar cukup mengembirakan saya.
“Saya akan pertaruhkan Ghaddar untuk merobek benteng Melaka bagi memastikan tiga mata menjadi milik Kelantan,” katanya di sini hari ini.
Zahasmi juga akan membuat rombakan sebagai persediaan menentang Melaka.
Katanya, rombakan itu bagi memperkemaskan pertahanan untuk mengekang serangan Melaka yang dibarisi pemain berkaliber.
“Jentera serangan Melaka yang diketuai Amri Yahyah cukup hebat. Jadi kita perlu waspada dan harap pemain dapat beri aksi terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Idris Haron berkata, pertemuan esok tidak boleh dijadikan referendum bagi pemilihan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Perlawanan esok tidak boleh dijadikan referendum kepada kemelut pemilihan kepimpinan FAM kerana ia melibatkan Melaka dan Kelantan secara langsung.
“Pemain dan pihak kejurulatihan mesti bebas daripada ikatan itu dan bermain dengan baik. Harapan saya MU boleh menang dan bawa pulang mata,” katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa akan menentang Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam pemilihan 25 Mac ini.
Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi pula akan merebut jawatan Timbalan Presiden dan merupakan penyokong kuat Tunku Ismail.
SUMBER : UTUSAN