KOTA BHARU: Hajat Kelantan melakar kemenangan sulung di laman sendiri masih tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Melaka United (MU) dalam aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.
Kekalahan itu adalah kali kedua berturut-turut dialami The Red Warriors (TRW) di laman sendiri dalam tempoh tiga hari selepas tewas kepada Kedah 1-0, Sabtu lalu.
Ketiadaan kelibat import dari Brazil, Alessandro Padovani Celin, yang diketepikan akibat kecederaan hamstring tidak menjejaskan gerakan awal skuad bimbingan jurulatih, Zahasmi Ismail dalam aksi yang diadakan semula itu selepas ditunda 21 Januari lalu akibat cuaca buruk.
Malah, TRW terlebih dahulu membuat percubaan berbahaya dari luar kawasan penalti seawal minit ketujuh menerusi import dari Gambia, Mamadou Danso namun diselamatkan penjaga gol pelawat, Mohd Fazli Pa'at.
Tiga minit berselang, Mohd Badhri sekali lagi merencana gerakan menarik buat Mohamed Ghaddar sebelum penyerang import kelahiran Lubnan itu memperdayakan G Puaneswaran namun percubaannya diselamatkan penjaga gol pelawat.
MU yang lambat menemui rentak hampir berada di depan apabila percubaan jarak jauh Jeon Woo Young pada minit ke-15 berjaya memerangkap penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, namun tidak bernasib baik apabila palang menjadi penghalang.
Skuad kendalian Eric Williams sekali lagi melancarkan serangan pada minit ke-23 tetapi hantaran lambung pemain sayap, R Surendran gagal di tanduk tepat kapten mereka, Ilija Spasojevic di depan pintu gol.
Tuan rumah berpeluang mendahului pelawat sebelum berakhir separuh masa tetapi sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-40 sekadar melepasi palang gol.
Seminit kemudian, Mohamed Ghaddar hampir mengubah keputusan perlawanan apabila mudah memperdayakan pertahanan lawan, Mohd Faizal Muhammad di dalam kotak penalti namun dua percubaan kencangnya dinafikan Mohd Fazli.
Mohamed Ghaddar terus mencetuskan huru-hara di depan gawang pelawat apabila menyambut umpanan pendek Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim namun percubaannya sempat ditolak keluar Mohd Fazli, pada minit ke-48.
Tuan rumah terus mendominasi permainan apabila melancarkan serangan menerusi gerakan sebelah kiri tetapi rembatan deras Morgaro Gomis hanya sedikit tersasar di sebelah kiri, dua minit kemudian.
Bagaimanapun, ketika Kelantan ghairah melancarkan serangan, Spasojevic tanpa diduga menghukum kelekaan benteng pertahanan apabila menolak masuk gol pembuka tirai hasil hantaran Woo Young, pada minit ke-59.
Menghampiri minit ke-70, Indra Putra hampir memberikan gol penyamaan buat pasukannya namun percubaan luar kotak penalti hanya sedikit tersasar di sebelah kiri gawang.
Minit ke-88, Mohd Norfarhan Muhammad memberikan sedikit harapan buat tuan rumah untuk menyamakan kedudukan namun rembatan kencang dari luar kotak penalti dinafikan Mohd Fazli.
Sebaliknya, gawang mereka sekali lagi bolos apabila Mohd Fauzi Rozlan menamatkan sisa-sisa harapan mereka untuk bangkit dengan merembat leret menewaskan Khairul Fahmi.
Kesebelasan utama pasukan:
KELANTAN – Khairul Fahmi Che Mat,
Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mamadou Danso,
Hasmizan Kamarodin, Mohd Qayyum Marjoni Sabil,
Mohd Daudsu Jamaludin (Mohd Norfarhan Muhammad),
Morgaro Gomis, Mohd Badhri Radzi (KP)
(Fakrulzaman Wan Abdullah Zawawi),
Mohd Khairul Izuan Rosli (Mohd Shahrul Hakim Rahim),
Indra Putra Mahayuddin dan Mohamed Ghaddar.
Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mamadou Danso,
Hasmizan Kamarodin, Mohd Qayyum Marjoni Sabil,
Mohd Daudsu Jamaludin (Mohd Norfarhan Muhammad),
Morgaro Gomis, Mohd Badhri Radzi (KP)
(Fakrulzaman Wan Abdullah Zawawi),
Mohd Khairul Izuan Rosli (Mohd Shahrul Hakim Rahim),
Indra Putra Mahayuddin dan Mohamed Ghaddar.
MELAKA UNITED – Mohd Fazli Pa’at, G Puaneswaran,
Mohd Faizal Muhammad (Syed Sobri Syed Mohd),
Godwin Antwi, Khair Muhammad Jefri Jones, R Surendran,
Muhammad Khairu Azrin Khazali, Jeon Woo Young, Ahmad
Ezrie Shafizie Sazali, Mohd Amri Yahyah (Ahmad Khuzaimi Piee)
dan Ilija Spasojevic (KP) (Muhammad Fauzi Roslan).
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Razlan Jeffri Ali
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail
Penolong Pengadil 2 : Nordin Mat Jusoh
Pegawai Keempat : Ku Alauddin Ku Muhammad
Kommissioner Perlawanan : Shahrin Ismail
Penilai Pengadil : C Ravichandran
General Koordinator : Mohd Nazmi Mohd Nawi
Mohd Faizal Muhammad (Syed Sobri Syed Mohd),
Godwin Antwi, Khair Muhammad Jefri Jones, R Surendran,
Muhammad Khairu Azrin Khazali, Jeon Woo Young, Ahmad
Ezrie Shafizie Sazali, Mohd Amri Yahyah (Ahmad Khuzaimi Piee)
dan Ilija Spasojevic (KP) (Muhammad Fauzi Roslan).
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Razlan Jeffri Ali
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail
Penolong Pengadil 2 : Nordin Mat Jusoh
Pegawai Keempat : Ku Alauddin Ku Muhammad
Kommissioner Perlawanan : Shahrin Ismail
Penilai Pengadil : C Ravichandran
General Koordinator : Mohd Nazmi Mohd Nawi
Sumber : BERITA HARIAN & SINAR HARIAN