Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, suspek tersebut dikenali sebagai Hyon Kwang-song, 44 dan seorang lagi suspek yang baru dikenal pasti merupakan pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Kim Uk-il, 37.

“Kedua-dua suspek warga Korea Utara itu disyaki masih berada di negara ini dan kami telah meminta mereka tampil untuk membantu siasatan.

“Sekiranya mereka enggan, waran tangkap akan dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas beliau, pihaknya turut meminta kerjasama daripada pihak berkuasa Korea Utara untuk menyerahkan keempat-empat suspek kes sama yang telah pulang semula ke negara itu bagi proses siasatan.

“Pihak berkuasa Korea Utara perlu memberi kerjasama dan membenarkan kita menjalankan soal siasat terhadap kesemua suspek supaya siasatan kes ini dapat dilengkapkan,” katanya.

Khalid turut memaklumkan, pihaknya menolak tawaran Korea Utara untuk menjalankan siasatan bersama kerana kes ini di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).-UTUSAN ONLINE

Sumber : UTUSAN