RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!

Rahsia untuk menjana 5 angka sudah terbongkar Jika betul-betul serius untuk menjana pendapatan di Shopee, boleh tekan gambar di bawah:

Sabtu, 21 Januari 2017

"Saya difahamkan ramai orang dan penyokong cuba ingin menjadi jurulatih" - TMJ


JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan pandangan tatkala dimaklumkan ramai netizen di laman sosial mengeluarkan kenyataan seolah-olah sebagai jurulatih. 

Menerusi kenyataan terbaharu di laman rasmi JOHOR Southern Tigers, Tunku Ismail terlebih dahulu merakamkan ucapan tahniah kepada Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) selepas skuad Helang Merah memenangi Piala Sumbangsih selepas menewaskan JDT 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti. 

"Saya difahamkan ramai orang dan penyokong cuba ingin menjadi jurulatih. Jadi, saya juga menjadi jurulatih untuk mengambil kesempatan berkongsi pandangan saya mengenai perlawanan malam tadi. 

"Bagi saya jika kami beraksi dengan 11 pemain ia akan menjadi cerita yang berbeza. Anda boleh lihat kami memberi tekanan terhadap Kedah dan menguasai perlawanan selain mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol. 

"Namun, kad merah yang dikenakan kepada S Kunalan nyata membunuh kami. Pada saya ia memang kad merah kerana kad kuning kedua yang jelas. 

"Dengan 10 pemain adalah mustahil untuk bertahan dengan penguasaan bola atau memberi tekanan yang lebih terhadap lawan tatkala anda akan mendedahkan pertahanan anda. 

"Ia boleh menjejaskan tahap kecergasan benteng pertahanan yang perlu bekerja lebih keras," kata Tunku Ismail dalam kenyataan itu. 

Tunku Ismail berkata, seandainya pemain JDT dikenakan arahan keluar padang sama ada pada minit ke-60 atau minit ke-70, kemungkinan JDT mampu memberi saingan terhadap Kedah tatkala perlawanan masih seimbang. 

Namun katanya, kad merah dilayangkan sebelum tamat babak pertama dan mengharungi babak kedua dengan 10 pemain menentang 11 pemain Kedah bukanlah mudah. 

Beliau bagaimanapun tetap bangga dengan kesungguhan setiap pemain JDT dan kejurulatihan pasukan itu yang memiliki semangat juang tinggi apabila tetap memberi kesukaran buat Kedah yang hanya mampu seri 1-1 tatkala menentang 10 pemain JDT. 

"Akan ada penambahbaikan untuk jangka masa panjang dan itu yang kita rancangkan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong JDT yang tetap menyokong skuad Harimau Selatan dan kami menghargainya. 

"Masih ada 47 perlawanan lagi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan perjalanan masih jauh malah akan ada beberapa perubahan lagi menjelang Jun ini untuk mencapai sasaran. Kita lihat nanti," kata Tunku Ismail yang mahu penyokong bergembira sepanjang musim ini dan sentiasa bersatu.

SUMBER : BERITA HARIAN