RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!
Sabtu, 21 Januari 2017
KAFA sambut baik keputusan tunda perlawanan
KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyambut baik keputusan penundaan perlawanan antara The Red Warrior (TRW) melawan Melaka United (MU) yang dijadualkan berlangsung malam ini.
Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, berkata keputusan itu tepat berikutan keadaan padang yang basah, becak serta akan mengganggu rentak permainan jika tetap dilangsungkan mengikut jadual asal.
"Ia satu keputusan bijaksana kerana mengambil kira faktor cuaca, risiko kecederaan pemain, keselesaan penonton dan kesan kepada kemudahan stadium.
"Sekiranya ia tetap dilangsungkan, ia jelas akan menjejaskan prestasi pasukan TRW dan turut menyukarkan pengadil untuk mengadili perlawanan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Namun, bagi Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, keputusan itu dilihat memberikan sedikit kelebihan kepada TRW bagi menghadapi perlawanan akan datang. Katanya, ia kerana, peluang rehat itu akan digunakan sepenuhnya untuk memberi ruang kepada pemain import baharu mereka menyesuaikan diri dengan pemain sedia ada.
Tiga pemain import baharu TRW - pemain pertahanan Mamadou Danso, 33, dari Gambia serta dua penyerang iaitu Alessandro Padovani Celin, 27, dari Brazil dan Mohammed Mahmoud Ghaddar, 33, dari Lubnan masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.
"Latihan tetap akan diteruskan walaupun cuaca hujan lebat namun kita akan meneruskan latihan di kawasan padang khas seperti gelanggang futsal," katanya.
Sementara itu, tinjauan BH Sukan mendapati keadaan padang stadium Sultan Muhamad IV masih digenangi air berikutan hujan lebat yang melanda di negeri ini.
SUMBER : BERITA HARIAN