PEMAIN Perak, Vladislav Mitkov Mirchev cuba melepasi penjaga gol Pahang, Wan Muhammad Azraie pada saingan Liga Super di Stadium Perak. - Foto Abdullah Yusof
IPOH: Skuad Perak yang dicanang mampu cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini dengan kehadiran beberapa nama besar bermula hambar apabila sekadar seri 1-1 dengan Pahang dalam aksi pertama di Stadium Perak, malam tadi.
Kehadiran beberapa pemain baharu termasuk pemain kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak dan Mohd Shahrom Kalam yang turut dilantik selaku ketua pasukan masih gagal membantu kemenangan buat The Bos Gaurus.
Sebaliknya tuan rumah terpaksa bangkit selepas ketinggalan untuk mempertahankan maruah daripada dicalar skuad Tok Gajah apabila Thiago Junio Aquino meledak gol penyamaan.
Pada aksi yang berlangsung atas padang basah, kedua-dua pasukan mempamerkan kesungguhan untuk memburu mata maksimum, namun aksi 45 minit pertama berakhir tanpa sebarang gol.
Bersambung babak kedua, Pahang hanya memerlukan 11 minit untuk mendahului Perak apabila Ahmad Shamim Yahya meledak gol pembukaan selepas tenang menyempurnakan hantaran lintang tonggak import, Mohamadou Sumareh.
Bagaimanapun, anak buah Karl Heinz Weigang bangkit apabila Thiago menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-68 untuk membolehkan tuan rumah berkongsi mata.
SUMBER : Berita Harian