RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!
Isnin, 2 Januari 2017
Kerajaan negeri setuju bantu KAFA
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan Belia dan Sukan Datuk Ab Fattah Mahmood
KOTA BHARU: Kerajaan negeri bersetuju memberi bantuan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi memastikan The Red Warriors (TRW) terus kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood, berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan diadakan antara KAFA dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
"Yang penting pertemuan ini mewujudkan persefahaman baik antara kerajaan negeri dengan KAFA dan pada dasarnya kami bersetuju membantu KAFA, namun segala bentuk bantuan akan diperincikan dalam perbincangan susulan selepas ini ," katanya ketika sidang media di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor Ismail.
Mengulas lanjut hasil pertemuan itu, Ab Fattah berkata, pihaknya sudah menerima hasil maklumat kewangan yang disampaikan KAFA dan memahami beban yang terpaksa ditanggung persatuan itu.
"Sebelum 6 Januari ini kami akan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memuktamadkan bentuk sumbangan dan bantuan bagi memastikan TRW terus kekal menjadi pasukan yang hebat," katanya.
Sementara itu, Afandi berkata, beliau menghargai kesudian kerajaan negeri memberi bantuan kepada KAFA.
"Walaupun bentuk bantuan belum diputuskan, saya berharap keputusan positif bakal diterima dalam masa terdekat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan dalam Kongres Luar Biasa KAFA sebelum ini," katanya.
BH Sukan sebelum ini melaporkan kerajaan negeri menunggu pembentangan hasil keputusan resolusi Kongres Luar Biasa KAFA pada 29 Disember lalu untuk memutuskan sebarang bantuan yang akan dihulurkan.