Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya hanya akan membantu Kafa mencari penaja bagi mengisi kantung kewangan persatuan itu sekaligus mengelak keputusan tarik diri dari saingan Liga Malaysia (Liga M) menjadi realiti. 

 Dalam masa sama, beliau juga menafikan spekulasi bahawa ada anak syarikat kerajaan negeri akan menguruskan Kafa secara penswastaan.

 Beliau berkata, peranan kerajaan negeri hanyalah untuk meyakinkan barisan penaja sama ada yang baharu atau lama yang berminat supaya menaja pasukan tersebut.

 "Kita tidak pernah sebut bahawa kita mahu ambil alih Kafa, jangan silap faham, cuma kita akan bantu.

"Kita sudah ada persefahaman dengan Kafa bahawa kita akan pastikan The Red Warriors terus beraksi dalam Liga Super.

"Kita masih ada 24 jam, macam-macam boleh berlaku, ada banyak pihak menyatakan minat taja kita, kerajaan negeri akan hubungi mereka untuk duduk berbincang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kafa bersetuju menyerahkan pengurusan persatuan itu kepada kerajaan negeri bagi membolehkan skuad TRW terus beraksi.
Keputusan tersebut diambil selepas pertemuan kelmarin antara Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bersama Abdul Fattah dengan Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Setiausaha Agung, Datuk Ismail Md Nor.

Dalam pertemuan itu, Ahmad dan Abdul Fattah membayangkan kerajaan negeri sanggup mengambil alih pengurusan pasukan melalui syarikat-syarikat atau pihak tertentu atas restu Kafa.- UTUSAN ONLINE