KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) memandang serius berhubung jualan jersi The Red Warrior (TRW) ciplak yang dijual secara berleluasa di pasaran dan tidak akan berkompromi kepada peniaga yang degil.

Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pasar-pasar malam dan di kawasan penjaja termasuk di sekitar Stadium Sultan Muhammad IV, ekoran sebelum ini jersi terbabit pernah diciplak dan pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terpaksa menanggung kerugian berlipat kali ganda.

“Saya menyeru kepada peniaga dan pengusaha supaya tidak menciplak jersi TRW, memandangkan jika dikesan mempunyai logoTRW (logo kijang) pihak terbabit telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 8 Akta Perihal Dagangan dan akan dikenakan tindakan.

“Bagi individu yang terlibat sama ada memiliki, menggunakan dan menawarkan jersi tiruan kepada mana-mana pihak sabit kesalahan untuk sehelai jersi terbabit boleh dikenakan denda RM10,000 manakala syarikat boleh dikenakan denda RM15,000 untuk sehelai baju,” katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, kes terbabit merupakan satu kesalahan yang perlu diberi perhatian dan pihaknya tidak akan menawarkan kompaun kepada mereka yang terlibat.

Hadir sama, Pengarah Urusan Glow Glowing Beauty Skin yang juga merupakan penaja bersama TRW, Datuk Mohd Rowi Dollah, dan Setiausaha AgungKafa, Datuk Ismail Md Noor.

Ab Ghani berkata, logo yang merupakan milik Kafa itu hanya boleh dicetak oleh pihak terbabit memandangkan mereka telah berdaftar sejak 2011 melalui kementerian.

“Lagipun logo rasmi terbabit telah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri untuk digunakan bagi jersi rasmi TRW dan hanya ekslusif untuk Kafa jadi apabila ia ditiru maka mereka (Kafa) terpaksa menanggung kerugian.

“Sepanjang tahun 2008 sehingga 2017 sebanyak 35 kes cetakan baju ciplak dengan logo TRW dikesan dan terpaksa menanggung kerugian RM 242,000,” katanya.

Beliau berkata, di samping jersi TRW pihaknya turut mengesan 292 kes barangan ciplak yang menyerupai pelbagai barangan TRW benilai RM 12 juta sepanjang tempoh yang sama.

Sementara itu Mohd Rowi berkata, pihaknya akan mengkaji balik harga asal jersi yang kini bernilai RM119 dalam masa terdekat dan akan umumkan harga terbaru.

“Saya menyarankann kepada penyokong supaya belilah jersi original bagi membantu kewangan Kafa dan pihaknya juga akan membuat rondaan dan siasatan di seluruh Malaysia jika terdapat jersi tiruan dan maklumat siasatan akan disalurkan kepada pihak KPNDKK,” katanya.


Sumber : SINAR HARIAN