Mohd. Faiz Subri
Mohd. Faiz Subri
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin selepas pihaknya menghantar permohonan kepada FIFA agar pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu dibenarkan memakai baju Melayu pada majlis berprestij tersebut.

“Kami sudah menghantar permohonan itu sejak awal Disember lalu dan akhirnya mendapat kelulusan daripada FIFA. Saya dah maklumkan kepada Faiz (tentang berita ini).

“Terpulang kepada Faiz sama ada mahu memakai baju melayu atau sut seperti yang diminta oleh penganjur berhubung kod pemakaian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.



Hujung Disember lalu, Faiz melahirkan rasa sedikit kecewa setelah pihak penganjur, FIFA tidak membenarkannya memakai baju Melayu pada majlis tersebut.

Dia bagaimanapun tetap akan membawa pakaian tersebut ke Zurich dan berusaha mendapatkan pertimba­ngan terakhir FIFA ketika di Zurich bagi membolehkannya menyarung baju Me­layu.

Kebiasaannya calon atau pemenang anugerah FIFA akan hadir di majlis tersebut dengan mengenakan sut lengkap.

Faiz juga bercadang untuk berucap dalam bahasa Melayu seandainya dia diberi peluang berucap di atas pentas.

Bercakap dalam bahasa ibunda dalam majlis berkenaan adalah satu perkara biasa.
Penyerang Argentina, Lionel Messi bertutur dalam bahasa Sepanyol ketika memberi ucapan selepas diumum sebagai pemenang Ballon d’Or 2015.

Pemenang Puskas 2015, Wendell Lira dari Brazil juga bertutur dalam bahasa ibunda ketika berucap.

Faiz akan bers­aing de­ngan dua lagi calon akhir iaitu Marlone dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela bagi Anugerah Puskas 2016.

Dalam perkembangan sama, Faiz akan menerima durian runtuh apabila kerajaan Kedah bersedia memberi imbuhan atas kejayaan pemain berusia 29 itu melakar sejarah bola sepak negara.

“Pihak kerajaan negeri sepatutnya memberi imbuhan kepada Faiz hari ini dalam majlis yang diadakan di Sik, Kedah tetapi pada saat akhir Faiz minta pe­nangguhan kerana urusan peribadi.

“Jadi, imbuhan akan di­sampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah selepas beliau pulang dari Zurich yang dijangka diadakan pada 12 Januari ini,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar.