KOTA BHARU 28 Dis. - Meskipun beberapa syarikat telah menyatakan kesediaan untuk menaja Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), namun setakat ini belum ada pihak yang tampil mengadakan rundingan rasmi dengan badan induk itu bagi menyelamatkan The Red Warriors (TRW),
Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, dalam keadaan persatuan menghadapi kemelut kewangan banyak pihak menawar diri untuk menjadi penaja tetapi tiada sebarang tindakan susulan diambil selepas menyatakan persetujuan membantu pasukan.
“Kemunculan mereka yang mendakwa sebagai bakal penaja membantutkan hasrat penaja lain yang benar-benar ikhlas mahu membantu Kafa
“Mereka sepatutnya terus berunding selepas membuat kenyataan media bagi mengelak sebarang kekeliruan kepada penaja lain dan peminat.
“Sehingga kini, Kafa masih menunggu kehadiran syarikat terbabit bagi mengadakan rundingan lanjut berhubung terma dan syarat jika benar-benar mereka ingin menjadi penaja.
“Kalau mereka ikhlas ingin membantu, mereka seharusnya segera berunding dengan Kafa untuk memuktamadkan keputusan dan membuat sebarang pengumuman rasmi membabitkan tajaan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBSK) di sini, malam tadi.
Yang turut hadir Penyelaras BBBSK, Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Nor.
Sebelum ini, syarikat telekomunikasi redONE dan syarikat produk kesihatan, OAR Teguh Sdn. Bhd menyatakan kesediaan menaja TRW musim depan selepas Kafa berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa menarik diri dari saingan 2017 jika gagal mendapat dana mencukupi.
Setakat ini Kafa hanya mempunyai RM800,000 dan memerlukan RM14.2 juta jika mahu bersaing.
Sementara itu, BBBSK turut mendesak Kongres Luar Biasa Kafa yang bersidang esok membuat ketetapan kekal bersaing dalam Liga M 2017.
“Matlamat BBBSK adalah membantu Kafa dan bertemu dengan kepemimpinan tertinggi persatuan.
“Kami tidak ada agenda lain, apa yang dilakukan ini demi kebaikan bersama. Bukan itu sahaja kami sedia bersama Kafa untuk membangunkan bola sepak Kelantan,” kata Takiyuddin.