Statistik tersebut menunjukkan banyak pasukan Liga Malaysia (Liga M) belum mencapai tahap profesional dalam menghormati kontrak pemain, terutama dalam kes pembayaran gaji.

Daripada 23 kes yang direkodkan, tujuh masih menunggu Mesyuarat Jawatankuasa Status FAM, empat menunggu afidavit balas pasukan, tiga dalam proses rundingan bersama pasukan dan 12 kes dibuka semula.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, pada musim ini tiada perubahan ketara berhubung layanan pasukan kepada pemain kerana masih ada pasukan yang enggan membayar gaji pemain mereka seperti yang telah dijanjikan.

Tambahnya, ada juga pasukan yang tidak menghormati pemain apabila menamatkan kontrak sesuka hati tanpa mengikut perjanjian bersama.

“Berdasarkan penilaian bagi keseluruhan musim 2016 kami dapati masih ada layanan kurang adil diberikan pasukan kepada pemain mereka dan kami juga menerima laporan bayaran gaji lewat.

“Bagi tahun depan kami berharap pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia dapat menghormati kontrak pemain mereka dan ada penambahbaikan terutama melibatkan isu pembayaran gaji,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pada tahun ini, Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah pasukan yang menjadi tumpuan kerana terlibat dengan isu bayaran lewat gaji pemain mereka.

Dalam pada itu, berdasarkan statistik kes yang telah diselesaikan pada 2016 terdapat 23 kes melibatkan 10 pasukan berjaya diselesaikan.

Daripada jumlah itu 20 kes diselesaikan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Status FAM dan tiga hasil rundingan di antara PFAM dengan pasukan.