PENGARAH teknikal Kelantan, Alfredo Gonzales mengakui pasukannya beraksi di bawah keupayaan sebenar ketika tunduk 0-3 kepada Melaka United pada aksi Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam semalam.
Gonzales berkata, ia persembahan buruk dipamerkan barisan pemainnya dengan dua gol dalam separuh masa pertama dan satu lagi jaringan tambahan awal babak kedua sudah cukup menceritakan aksi hambar The Red Warriors, pada pertemuan itu.
“Ini bukan aksi sebenar Kelantan, saya tengok selepas Melaka menjaringkan gol pertama kita cuba berusaha mengimbangi corak permainan lawan tetapi malangnya tuan rumah mendapat gol kedua, tidak lama selepas itu.
“Hilang aksi tersusun di semua bahagian dan situasi ini menyebabkan Kelantan perlu membayar (kekalahan itu). Dalam bola sepak, kadangkala tuah bukan milik kita dan faktor utama kekalahan ini kerana pemain hilang konsentrasi,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan.
Pada aksi tersebut, Marko Simic meletakkan Melaka United di depan pada minit ke-20 sebelum kapten, R Surendran menambah gol kedua lapan minit kemudian disusuli jaringan Muhammad Fauzi Roslan (m-48) mengesahkan kemenangan pertama pasukannya selepas dua perlawanan.
Gonzales memberitahu, segala-galanya serba tidak menjadi buat pasukannya sekalipun bangkit memberi saingan ke atas skuad kendalian Eduardo Almeida, selepas ketinggalan 0-2 pada pertemuan tersebut.
“Babak kedua, pemain kita cuba merapatkan jurang menerusi serangan balas namun empat hingga lima peluang dalam tempoh 10 minit terakhir turut gagal menghasilkan jaringan,” katanya.
Gonzales yang kecewa dengan kekalahan itu bagaimanapun menggesa anak buahnya melupakan segera aksi terburuk itu dan mahu mereka kembali fokus untuk menghadapi T-Team, pada saingan Liga Super di Kuala Terengganu, malam esok.
“Kekalahan ini tidak akan menutup peluang pasukan ini, masih ada empat perlawanan lagi perlu diharungi dan kami (barisan kejurulatihan) akan bekerja keras untuk mempersiapkan pasukan bertemu T-Team, nanti,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN