JOHOR BAHRU - Tewas 2-1 kepada Lebanon di laman sendiri bukanlah sesuatu yang diimpikan Nelo Vingada untuk perlawanan pertamanya membimbing Harimau Malaya setelah dilantik sebagai jurulatih bulan lalu.
Namun, setidak-tidaknya kekalahan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos malam tadi telah memberi gambaran apa yang perlu dilakukan seterusnya oleh jurulatih dari Portugal itu untuk menghadapi perlawanan selepas ini.
Menurut Vingada, 64, faktor kecergasan dan hilang konsentrasi pada babak akhir perlawanan membuka ruang kepada Lebanon meledak dua gol menerusi Rabih Ataya dan menghukum Malaysia dalam perlawanan pertama Kumpulan B, kelayakan Piala Asia 2019.
Malaysia mendahului menerusi jaringan jarak dekat Mahali Jasuli pada penghujung babak pertama sebelum dua gol Ataya pada penghujung separuh masa kedua menghapuskan impian skuad tuan rumah untuk mencatat kemenangan.
Walaupun kurang senang dengan keputusan tersebut, Vingada yakin pasukannya mampu bangkit dan menunjukkan prestasi lebih baik dalam perlawanan akan datang.
“Dalam perlawanan itu, Lebanon mencipta kebangkitan pada babak kedua setelah ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama. Kelekaan pada minit akhir memberi ruang kepada pasukan lawan untuk menjaringkan gol kemenangan.
“Kalah tetap kalah dan ini bukanlah satu keputusan yang mampu saya ubah. Bagaimanapun pemain tidak perlu berasa kecewa terhadap keputusan tersebut kerana ini hanyalah permulaan dalam usaha membentuk pasukan untuk terus bersaing dalam peringkat kelayakan ini.
“Tambahan pula, kami berdepan kekangan masa apabila hanya mempunyai tempoh kurang dua minggu untuk melakukan persediaan menjelang perlawanan ini. Saya berharap nasib kami bertambah baik selepas ini,” katanya.
Vingada bagaimanapun mempunyai banyak masa untuk membuat persediaan menghadapi perlawanan seterusnya menentang Hong Kong pada September depan, dan tempoh senggang ini akan digunakannya untuk menilai semula pasukannya termasuk memikirkan mengenai rombakan.
Katanya, walaupun berpuas hati dengan barisan pemain sedia ada, dia tetap tidak menolak kemungkinan untuk membawa masuk muka baharu bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
“Saya mempunyai banyak masa lagi untuk melihat pemain lain dalam kancah liga Malaysia serta perlawanan membabitkan skuad Bawah 22 untuk mencari pemain sesuai menyertai skuad kebangsaan.
Sementara itu, jurulatih Lebanon, Miodrag Radulovic berkata, dia berasa puas pasukan kendaliannya mempamerkan kebangkitan untuk mencipta kemenangan sekali gus menggungguli kedudukan teratas Kumpulan B.
Katanya, walaupun jelas anak buahnya tidak dapat membiasakan diri bermain dalam keadaan cuaca di Malaysia, namun kesungguhan mereka hingga wisel penamat memang layak dipuji.
“Setelah membuat beberapa pertukaran pemain dan taktikal pada babak kedua, pasukan mula beraksi dengan lebih baik sehingga berjaya meraih gol kemenangan. Pasukan lawan yang dilihat keletihan pada minit akhir memberi ruang kepada kami mempamerkan kebangkitan,” katanya.
Sumber :© Utusan Melayu (M) Bhd