Tan Cheng Hoe
Tan Cheng Hoe
Menurut Cheng Hoe, beliau perlu menunggu hasil perbincangan dengan KFA mengenai statusnya sebagai jurulatih Kedah kerana kontraknya masih berbaki hingga hujung tahun ini.
Cheng Hoe bagai­manapun berharap KFA dapat melepaskannya kerana keutamaan pada masa ini adalah membantu Harimau Malaya.
“Saya rasa tidak perlu nak komen terlalu banyak (isu menjadi penolong jurulatih Harimau Malaya)...saya nak selesaikan dengan KFA dalam masa terdekat.
“Saya tunggu hasil perbinca­ngan dengan KFA (lapor diri ke kem kebangsaan), tetapi setakat ini, belum ada apa-apa berita daripada KFA. Yang pasti, perkara ini (perbincangan bersama KFA) akan diselesaikan secepat mungkin.
“Diharapkan itu akan menjadi perbincangan yang baik kerana dalam bola sepak saya boleh be­kerja dengan sesiapa sahaja... tapi pada saya, negara adalah yang utama,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Kedah menentang PKNS FC dalam saingan Liga Super di sini semalam.
Dalam pada itu, Kedah gagal mempertahankan kedudukan ter­atas Liga Super selepas sekadar seri 1-1 dengan PKNS FC dalam aksi di laman sendiri, semalam.
Tuan rumah dikejutkan de­ngan jaringan penyerang dari Argentina, Lucas Sebastian Espindola pada minit ke-28 sebelum menyamakan kedudukan lapan minit kemudian menerusi pertahanan dari Australia, Zachary Michael Anderson.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Cheng Hoe mengakui kecewa dengan keputusan tersebut, biarpun Kedah masih mengekalkan rekod tanpa kalah.