“Mereka (FAM) memanggil tiga calon untuk ditemu duga (bagi jawatan itu) sedangkan penyandangnya sudah sedia ada (diserahkan kepada Datuk Ong Kim Swee),” dakwanya.

“Saya tidak akan memohon lagi seperti dahulu tetapi jika FAM berminat, saya pasti mereka masih menyimpan nombor telefon saya untuk dihubungi,” katanya lagi kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hodak, 46, menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang tahun lalu selain pernah membimbing JDT untuk muncul juara Liga Super 2014 sekali gus layak ke Piala AFC, naib juara Piala FA dan Piala Malaysia. Bagaimanapun dia digantikan oleh Mario Gomez pada April 2015.

Sebelum itu, Hodak membimbing Kelantan selama dua musim yang menyaksikan mereka memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012, selain menjadi naib juara liga dan Piala Malaysia tetapi mempertahankan Piala FA setahun kemudian.

Warga Croatia itu dan Robert Alberts dari Belanda yang juga bekas Pengarah Teknikal FAM merupakan dua lagi calon yang ditemu duga badan induk itu untuk jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya selain bekas jurulatih Harimau Muda, Kim Swee pada 2016.

Nama Hodak disarankan oleh bekas jurulatih negara yang kini melatih Felda United, B. Sathianathan selepas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam membatalkan hasrat untuk melantik Mario Gomez gara-gara tuntutan gaji bulanannya yang dikatakan mencecah RM177,600.

Hodak berkata, dia tidak terikat dengan mana-mana pasukan Liga Malaysia mahupun luar negara ketika ini sekali gus terbuka untuk berunding dengan FAM bagi mengisi ‘kerusi panas’ itu.

“Saya sedang bercuti di Indonesia dan tidak melatih mana-mana pasukan lagi. Memang menjadi cita-cita saya untuk mengendalikan sebuah pasukan kebangsaan.

“Saya tidak simpan dendam dengan FAM atau Tunku Ismail (ketika digantikan Gomez di JDT). Saya cuma berharap dengan muka baharu yang memimpin FAM ini, keadaan akan berubah lebih baik asalkan kita sedia berikan masa,” katanya.