FAM
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Kang Hwee Gee berkata, selepas bermesyuarat semalam, Westwood didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 51.1 (a) Kod Tatatertib’ berkenaan ‘Salahlaku terhadap pegawai perlawanan’.
Tambahnya, ia turut dibaca bersama dengan ‘Artikel 59 (a) Kod Tatatertib’ berkenaan ‘Kelakuan menyinggung dan Fair Play’ dan ‘Artikel 50.1 (c) Kod Tatatertib’ berkenaan ‘Salahlaku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan’.
“Westwood digantung empat perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik; didenda sebanyak RM2,000; dan diberikan amaran keras atau hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Empat perlawanan tersebut adalah pertemuan menentang T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (penggantungan perlawanan secara automatik) pada Sabtu lalu.
Ia diikuti tiga aksi Liga Super iaitu berdepan Sarawak Sabtu ini di Stadium Negeri Pulau Pinang; lawan Pahang (18 Februari di Stadium Darul Makmur); dan menentang Kedah (25 Februari di Stadium Darul Aman).

Sumber : UTUSAN