Sorang pengguna Facebook yang menggunakan nama panggilan Jat Jaa memuat naik status dengan lima gambar yang menunjukkan perbualan disyaki antara beberapa pembeli dengan seorang penjual.

Malah, gambar-gambar berkenaan juga disyaki menunjukkan 'hasil' selepas menggunakan pil-pil menggugurkan janin berkenaan tanpa ada sesalan di pihak pembeli.

Jat Jaa mempertikaikan kenapa isu tidak bermoral ini tidak dipandang serius oleh pihak berkuasa dan diambil tindakan segera bagi membendung penularan penjualan pil penguguran janin berkenaan daripada mereka yang boleh menyebabkan kerosakan akhlak anak-anak muda zaman sekarang.

Sementara itu semua komen pada status berkenaan mengecam tindakan tersebut dan mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan segera dalam membendung kejadian lebih banyak mereka yang tidak bertanggung jawab menggugurkan bayi secara terpaksa.

Seorang pengguna, Nuramira Dzulkafly yang sedih dengan kejadian itu berharap ia tidak diteruskan kerana dia amat berharap untuk mendapat seorang bayi.

Manakala bagi Azizi Wilsons dia turut berharap pelaku perbuatan tidak bermoral berkenaan sempat bertaubat dengan pelakuan terkutuk yang dilakukan itu.

Sementara itu, Khatini Yaacob pula menyatakan perbuatan terkutuk itu adalah manusia yang betopengkan syaitan.

Awien Tahir pula mahukan pihak polis menyiasat mengenai perkara ini dan mengambil tindakan dengan segera.

Status yang dimuat naik Jat Jaa pada pukul 2 petang semalam itu setakat pukul 3 petang tadi telah dikongsi sebanyak 43,099 kali dan menerima komen 7,035. - UTUSAN ONLINE