Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. Menurutnya, pemain yang beraksi di bahagian pertahanan dan serangan itu akan tiba di Kuala Lumpur, Rabu ini.

“Kedua-dua pemain import itu akan terus melaporkan diri dan menyertai The Red Warriors (TRW) bagi menjalani latihan pra musim di ibu negara, selama enam hari, bermula esok sehingga 14 Janua­ri ini.

“Langkah mendapatkan dua pemain itu perlu dimuktamadkan segera memandangkan Kelantan kesuntukan masa kerana saingan Liga M akan bermula kira-kira dua minggu lagi,” katanya.

Djeugoue, 24, membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa pada 2013 sebelum dipanggil jurulatih berasal dari Jerman, Volker Finke bagi memperkukuhkan benteng skuad Les Lions Indomptables dalam kempen Piala Dunia 2014 di Brazil.

Sementara itu, Afolabi, penyerang yang baharu berusia 22 tahun memulakan karier dengan mewakili Sunshine Stars FC selama empat musim (2013 – 2016) dan kali terakhir menyarung jersi kelab Talleres de Cordoba dalam Liga Utama Argentina.

Kedua-dua pemain itu dikatakan dibawa masuk oleh ejen pemain yang tidak asing lagi dalam kalangan penyokong Kelantan iaitu Marcelo Houseman yang turut bertanggungjawab memperkenalkan Erwin Carrillo (Colombia) dan Austin Amutu (Nigeria) kepada pasukan itu, dua tahun lalu.

Kelantan bakal mengharungi tiga aksi persahabatan menentang pasukan Liga Premier iaitu MISC Mifa pada petang esok; UiTM FC (11 Januari) dan terakhir pada 13 Januari ini melawan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sumber itu turut mendedahkan, bekas penyerang kebangsaan Lubnan, Mohammed Ghaddar juga dikatakan berada dalam radar persatuan berkenaan bagi mempertajamkan jentera sera­ngan skuad pantai timur, pada saingan musim ini.

“Mohammed Ghaddar memang tidak asing lagi kerana pernah mewakili Kelantan pada musim 2012. Namun pada 2014 dia terpaksa digugurkan akibat masalah disiplin. Dia merupakan penjaring terbanyak pasukan pada 2012, dengan menjaringkan 21 gol dalam 32 penampilan,” ujarnya.

- UTUSAN